
PELAKON, Natasha Hudson baru-baru ini selamat melahirkan cahaya mata kelimanya pada jam 1.15 petang Sabtu.
Lebih istimewa lagi, kehadiran yang ditunggu sekali gus menjadi momen paling bermakna dalam hidupnya apabila buat pertama kali menimang bayi lelaki.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri Natasha menerusi Instagram (IG), memaklumkan bayi seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan pada jam 1.15 petang.
"Hari ini, jam 1.15 petang kami menyambut kelahiran bayi lelaki pertama kami ke dunia dengan berat 3.2 kilogram," kongsinya.
Selepas melalui pengalaman membesarkan empat anak perempuan, wanita itu mengakui kehadiran cahaya mata lelaki ini membawa rasa yang sukar diungkapkan.
"Selepas dikurniakan empat puteri, kehadirannya membawa makna yang sangat besar buat kami.
"Proses bersalin berjalan dengan begitu lancar dan tenang, dan hati saya dipenuhi rasa syukur atas pengalaman yang dipermudahkan ini," ujarnya.

Dalam masa sama, dia turut meluahkan rasa syukur apabila proses bersalin berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Benar-benar satu rahmat yang sukar diungkapkan dengan kata-kata, anugerah yang amat berharga daripada Tuhan buat keluarga kami.
"Terima kasih kepada doktor keluarga kami, @obgyn_drniraj yang sentiasa bersama kami sejak hari pertama," titip Natasha lagi.
Perkongsian tersebut dibanjiri ucapan tahniah daripada pengikut serta rakan selebriti yang turut berkongsi kegembiraan.
Untuk rekod, Natasha mendirikan rumah tangga bersama Jay Jasmin pada 28 Mac 2022 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Kaia.
Manakala daripada perkahwinan terdahulu, Natasha memiliki tiga lagi anak perempuan iaitu Neesa Helena, Naeema Kalila dan Faatimah.
Kini, kehadiran bayi lelaki itu melengkapkan lagi perjalanan hidupnya sebagai seorang ibu.
