liza05/10/2026 - 10:05 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Okt – Reformasi kesihatan yang sedang dilaksanakan kerajaan dijangka tidak memberi kesan besar kepada prestasi sektor penjagaan kesihatan swasta dalam tempoh terdekat meskipun terdapat risiko tekanan terhadap margin hospital susulan pelaksanaan pembayaran menerusi system Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG), kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata inflasi kesihatan Malaysia meningkat kepada 3% pada 2025 berbanding 1.4% pada 2024 dengan kenaikan kos insurans sebanyak 9% menjadi antara faktor utama peningkatan tersebut.
Peningkatan kos itu mendorong kerajaan memperkenalkan reformasi menerusi inisiatif RESET yang memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan berasaskan nilai, ketelusan harga, pendigitalan sistem kesihatan serta kaedah pembayaran penyedia perkhidmatan yang lebih berkesan.
DRG mungkin beri tekanan kepada margin hospital
Salah satu perubahan utama ialah pelaksanaan sistem DRG yang disasarkan bermula pada 2027, dengan cadangan model gabungan DRG dan bayaran berdasarkan perkhidmatan (FFS) bagi tempoh peralihan.
Di bawah model itu, beberapa perkhidmatan seperti caj bilik boleh dibayar berdasarkan kadar tetap DRG, manakala ubat-ubatan dan ujian makmal berkemungkinan masih menggunakan kaedah bayaran berdasarkan perkhidmatan.
Phillip Capital berkata kadar pembayaran DRG masih belum dimuktamadkan dan pengendali hospital swasta kini memberikan data berkaitan klinikal, kos serta campuran kes kepada pihak berkaitan.
“Pelaksanaan DRG berpotensi memberi tekanan kepada margin hospital swasta sekiranya kadar pembayaran ditetapkan pada tahap yang lebih rendah. Namun, kami menjangkakan kesannya masih boleh diurus, terutama jika peningkatan jumlah pesakit dan kecekapan operasi dapat mengimbangi tekanan tersebut,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
MediAsas berpotensi tingkatkan akses rawatan swasta
Pada masa sama, pelaksanaan MediAsas sejak Julai 2026 dilihat berpotensi meningkatkan kemampuan rakyat mendapatkan rawatan di hospital swasta.
MediAsas menawarkan dua pelan iaitu Teras dan Fleksi, dengan perlindungan tersedia sehingga umur 85 tahun. Premium indikatif pula antara RM60 hingga RM550 sebulan, manakala ciri dan harga akhir dijangka diumumkan pada Januari 2027.
Phillip Capital berkata 10 hospital telah dipilih sebagai penyedia dalam rangkaian MediAsas, termasuk empat hospital milik KPJ Healthcare Berhad yang terlibat dalam projek perintis sehingga akhir 2026.

“Dengan 30 hospital, KPJ mempunyai rangkaian lebih besar berbanding Asia OneHealthcare dengan 22 hospital dan IHH Healthcare Berhad dengan 18 hospital. Keadaan ini memberi kelebihan kepada KPJ untuk menerima manfaat daripada peningkatan jumlah pesakit menerusi MediAsas,” katanya.
Bagaimanapun, Phillip Capital menjangkakan kesan kepada jumlah pesakit akan berlaku secara berperingkat berikutan sebahagian kos rawatan masih perlu ditanggung sendiri oleh pesakit.
Kapasiti hospital awam terus sokong permintaan swasta
Phillip Capital turut melihat kekangan kapasiti hospital awam sebagai faktor yang terus menyokong permintaan terhadap hospital swasta.
Jumlah katil hospital awam yang merangkumi kira-kira 70% daripada keseluruhan katil hospital di Malaysia hanya berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 1% antara 2019 hingga 2024, berbanding 3% bagi hospital swasta.
Pertumbuhan kapasiti yang lebih perlahan dalam sektor awam boleh menyebabkan kesesakan dan tempoh menunggu lebih panjang yang akan menyokong aliran pesakit kepada hospital swasta.
Phillip Capital menjangkakan pendapatan sektor penjagaan kesihatan meningkat 9% pada separuh kedua 2026 berbanding separuh pertama, didorong jumlah pesakit yang lebih tinggi, khususnya bagi prosedur elektif dan rawatan mata pada suku keempat 2026.
“Bagi 2027, pendapatan syarikat dalam liputan sektor penjagaan kesihatan pula dijangka meningkat 14% tahun ke tahun.
“Kami mengekalkan penarafan Overweight terhadap sektor penjagaan kesihatan, dengan pilihan utama terdiri daripada IHH Healthcare Berhad dengan harga sasaran RM11.03 dan KPJ Healthcare Berhad pada RM3.80,” katanya.
Selain itu, Phillip Capital turut memberikan saranan Beli terhadap Optimax Holdings Berhad dengan harga sasaran RM0.81 dan UMedic Group Berhad pada RM0.43.
Secara keseluruhan, walaupun reformasi seperti DRG boleh memberi tekanan kepada margin hospital swasta, Phillip Capital berpandangan perkembangan itu tidak memberi kesan besar kepada sektor dalam tempoh terdekat, disokong pertumbuhan jumlah pesakit, kekangan kapasiti hospital awam dan potensi peningkatan akses kepada rawatan swasta melalui MediAsas. - DagangNews.com



