liza24/09/2026 - 09:54 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept – Sunway Construction Group Berhad (SunCon) dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk meraih lebih banyak kontrak pembinaan susulan kelulusan tambahan kapasiti bekalan elektrik sebanyak 5 gigawatt (GW) bagi pusat data, yang dianggarkan mewujudkan peluang pembinaan bernilai kira-kira RM40 bilion, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu berkata kelulusan tambahan kapasiti bekalan elektrik sebanyak 5 gigawatt (GW) oleh Pasukan Petugas Pusat Data Malaysia (DCTF) mewujudkan peluang pembinaan yang besar sehingga akhir 2028.
Firma itu menganggarkan tambahan kapasiti tersebut boleh diterjemahkan kepada peluang pembinaan bernilai kira-kira RM40 bilion setahun, berdasarkan tempoh pembinaan 2 tahun enam bulan dan kos pembinaan RM20 juta bagi setiap megawatt (MW).
“SunCon dilihat antara syarikat yang mempunyai pendedahan besar kepada peluang berkenaan dengan projek pusat data membentuk kira-kira 70% daripada jumlah buku tempahannya setakat Jun 2026.
“Buku tempahan SunCon berjumlah RM10.5 bilion memberikan keterlihatan pendapatan sehingga 2029, manakala sasaran perolehan kontrak baharu sebanyak RM7 bilion setahun bagi 2027 hingga 2028 hanya memerlukan syarikat itu meraih kira-kira 18% daripada keseluruhan peluang pembinaan yang dianggarkan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Kontrak baharu dan projek pusat data jadi pemacu
Setakat ini, SunCon telah memperoleh kontrak baharu bernilai RM6.9 bilion, bersamaan 76% daripada sasaran perolehan kontrak baharu RM9 bilion yang digunakan Phillip Capital bagi 2026.
Firma itu berkata aliran kontrak baharu SunCon dalam tempoh terdekat kekal disokong beberapa peluang, termasuk peningkatan saiz projek di Sedenak serta baki pakej projek di Bukit Serendah.
SunCon sebelum ini memperoleh kontrak bernilai RM1.75 bilion bagi pakej pertama Bukit Serendah pada 17 April 2026 yang meliputi kerja struktur utama dan kemasan (core and shell) serta kerja mekanikal, elektrik dan paip (MEP).
Selain itu, SunCon mempunyai senarai tender bernilai RM14 bilion, dengan lebih 70% daripadanya berkaitan projek pusat data yang melibatkan lima pelanggan sedia ada dan satu pelanggan baharu.
Phillip Capital berkata keadaan itu memberikan keyakinan bahawa SunCon mampu mencapai sasaran perolehan kontrak baharu RM9 bilion pada 2026 manakala baki tender kebanyakannya berkaitan tenaga boleh baharu yang dijangka hanya dianugerahkan pada 2027.
Keuntungan dijangka meningkat lebih ketara pada 2027
Dari segi prestasi kewangan, Phillip Capital menjangka keputusan suku ketiga 2026 SunCon kekal lebih kurang tidak berubah berbanding suku sebelumnya, sebelum prestasi bertambah baik pada suku keempat apabila beberapa projek memasuki peringkat pengebilan yang lebih tinggi.
Tiga projek utama dalam buku pesanan SunCon, iaitu projek struktur utama dan kemasan di Johor Bahru, kerja kontrak am dan projek pusat data di Serendah, mempunyai nilai gabungan RM5.4 bilion atau 51% daripada keseluruhan buku tempahan semasa.
Projek berkenaan dijangka mencatat pengebilan kemajuan yang lebih tinggi pada suku keempat 2026 berbanding suku ketiga, sebelum memasuki fasa pembinaan paling rancak pada 2027.
Phillip Capital juga mengekalkan unjuran keuntungan teras SunCon dengan pertumbuhan sebanyak 29% pada 2027, disokong peningkatan kontrak baharu serta pelaksanaan projek yang semakin rancak.
Namun, pertumbuhan tersebut mungkin disertai sedikit tekanan terhadap margin kerana projek pusat data kini membentuk bahagian yang semakin besar dalam buku tempahan SunCon.
Margin keuntungan sebelum cukai projek pusat data dianggarkan sekitar 8%, lebih rendah berbanding segmen lain kumpulan.
Secara keseluruhan, Phillip Capital mengekalkan saranan 'Beli' terhadap SunCon dengan harga sasaran 12 bulan RM9.32, berdasarkan gandaan harga kepada keuntungan (PE) sebanyak 22 kali terhadap anggaran keuntungan sesaham 2027. - DagangNews.com






