Sistem daftar ‘jammed’, ramai nak jadi sukarelawan F1

3 Sep 2026 • 5:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sistem daftar ‘jammed’, ramai nak jadi sukarelawan F1

PETALING JAYA – Sambutan luar biasa untuk menjadi sukarelawan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 menyebabkan sistem permohonan ‘jem’ susulan aliran trafik pengguna yang tinggi.

Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kesukaran yang dihadapi orang ramai untuk memohon sebagai sukarelawan acara berprestij itu.

Menurutnya, masalah berkenaan berlaku susulan aliran trafik luar biasa tinggi untuk mengakses sistem MyProfil di bawah seliaan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

“Tindakan teknikal segera sedang diambil bagi tujuan pemulihan sistem permohonan.
“Para pemohon juga dinasihatkan untuk kembali mengakses sistem dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

JBSN turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku selain menghargai sokongan diberikan orang ramai terhadap peluang kesukarelawanan berkenaan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari menerusi hantaran di media sosial mempelawa golongan muda merebut peluang menjadi sebahagian daripada penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa itu.

“Anak-anak muda, ini peluang anda untuk jadi sebahagian daripada aksi sukan berprestij dan bersejarah. Jom jadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Permohonan yang dibuka bermula semalam itu menawarkan peluang kepada 500 sukarelawan sahaja untuk menimba pengalaman dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Antara skop penugasan ditawarkan termasuk perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan atau penyambut tetamu serta pengurusan kawasan madani.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, berdisiplin, berintegriti serta mampu bekerja dalam kumpulan dan mempunyai tahap toleransi tinggi.

Mereka juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, manakala kebolehan berbahasa asing menjadi satu kelebihan. – KOSMO! ONLINE

The post Sistem daftar ‘jammed’, ramai nak jadi sukarelawan F1 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved