Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) inisiatif kerajaan pastikan komunikasi lancar ketika bencana

LocalTechnology
9 Sep 2025 • 12:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) inisiatif kerajaan pastikan komunikasi lancar ketika bencana

image is not available

09/09/2025 - 12:01

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Sept – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak atau PRIME adalah satu inisiatif baharu kerajaan untuk memastikan komunikasi tidak terputus ketika bencana, kecemasan atau di kawasan yang tidak mempunyai liputan komunikasi asas.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, PRIME dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana alam, sekali gus memastikan keselamatan rakyat lebih terjamin.

“Pengalaman lalu menunjukkan, setiap kali bencana besar berlaku, cabaran terbesar pasukan penyelamat ialah komunikasi yang terputus.

“Dengan adanya PRIME, Malaysia mempunyai keupayaan untuk memastikan koordinasi yang pantas, teratur dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

PRIME dilengkapi teknologi gabungan seperti komunikasi satelit, rangkaian selular mudah alih, radio dua hala, Wi-Fi hotspot serta penggunaan dron untuk memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.

image is not available

Kemudahan yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu membolehkan agensi penyelamat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat melaksanakan operasi dengan lebih lancar tanpa halangan komunikasi.

Selain itu, beliau berkata, PRIME turut menyokong program literasi digital di kawasan luar bandar serta menjadi platform tambahan untuk Pusat Penyebaran Maklumat Kebangsaan (NADI).

Beliau berkata, sistem itu juga berpotensi digunakan bagi acara berskala besar seperti sukan, konsert atau pameran yang memerlukan liputan komunikasi tambahan bagi mengelakkan kesesakan rangkaian.

“Sehingga kini, satu unit PRIME telah dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit dijangka akan beroperasi di Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun 2025.

“Ini adalah komitmen kerajaan memastikan semua rakyat mendapat akses komunikasi, sama ada ketika bencana mahupun di kawasan pedalaman yang masih kekurangan infrastruktur asas,” katanya.

PRIME akan berfungsi sebagai rangkaian komunikasi sementara yang membolehkan maklumat sahih disalurkan kepada masyarakat serta membantu agihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur.

Melalui sokongan PRIME, jaringan NADI juga diperkukuh dengan penyediaan akses internet bergerak bagi membolehkan komuniti luar bandar mendapat maklumat tepat, sekali gus mengurangkan jurang digital.

Fahmi berkata, inisiatif itu selari dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, menjadikan Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran bencana dan pada masa sama, memperluas peluang literasi digital.

“Dengan PRIME, kita memastikan tiada jurang komunikasi walaupun ketika krisis. Ia adalah pelaburan penting demi keselamatan rakyat dan masa depan negara,” katanya. - DagangNews.com

standard