
SEREMBAN: Pelaksanaan Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) yang digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanyalah merupakan projek rintis.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sistem berkenaan menggunakan telefon bimbit di bilik mengundi untuk mengimbas kad pengenalan pengundi semasa proses pendaftaran.
Katanya, pelaksanaan sistem itu sepenuhnya kelak akan dinilai terlebih dahulu dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan bagi menilai keberkesanan penggunaannya.
Beliau berkata, sistem berkenaan menggunakan telefon bimbit di bilik mengundi untuk mengimbas kad pengenalan pengundi semasa proses pendaftaran.
“Ia hanyalah projek rintis yang merupakan satu kaedah pendaftaran kehadiran. Maklumat itu dikemaskini real-time. Bukan setakat jumlah undi yang keluar, nama, jantina dan umur pengundi.
“Sebelum ini secara manual, terdedah kepada kesilapan, seperti tersalah memangkah nama oleh kerani di pusat mengundi.
“Malah, sistem pendaftaran digital (OCR-VA) ini telah digunakan di banyak negara,” katanya selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di Ampangan di sini.
Sistem OCR-VA digunakan di saluran satu hingga tujuh di pusat mengundi itu sepanjang proses pengundian hari ini.
Mengulas lokasi berkenaan sebagai lokasi pelaksanaan projek rintis, Ramlan berkata, ia dipilih kerana mempunyai komposisi pengundi yang pelbagai, termasuk warga emas, golongan muda dan pengundi daripada pelbagai latar belakang.
“Sekolah ini mempunyai saiz yang sesuai untuk kita melaksanakan projek rintis ini,” katanya.
Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim membantah pelaksanaan Sistem OCR-VA yang akan digunakan dalam PRN kali ini.
Bantahan itu dikemukakan menerusi sepucuk surat kepada Ramlan, Pengarah Pilihan Raya Negeri Sembilan, Norlinah Jamman serta Pegawai Pengurus DUN Ampangan.
Menerusi surat berkenaan, Muhammad Nazri mendakwa pelaksanaan sistem OCR-VA tidak pernah dimaklumkan kepada beliau sebagai calon sehingga hanya mengetahui mengenainya melalui ahli parti pada hari ini.
Katanya, pelaksanaan sistem baharu itu tanpa sebarang makluman awal adalah satu tindakan yang prejudis terhadap calon dan parti selain boleh menjejaskan gerak kerja pada hari pengundian.
Dalam pada itu, Ramlan berkata,projek rintis OCR-VA merupakan antara langkah awal ke arah pelaksanaan sistem pengundian elektronik (e-voting) di negara ini pada masa hadapan. – UTUSAN
The post Sistem OCR-VA hanya projek rintis – SPR appeared first on Utusan Malaysia.






