
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin memberi jaminan sistem pertahanan nasional Malaysia tetap utuh, berfungsi sebaiknya dan tidak sama sekali terjejas dengan segala skandal rasuah yang membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ini.
Menurutnya, kesiapsiagaan sistem pertahanan negara berada pada tahap terbaik dan skandal yang berlaku sama sekali tidak mengganggu operasi pertahanan.
Semua proses perolehan yang tertangguh akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan
Jelas Mohamed Khaled, semua proses perolehan yang tertangguh akan diselaraskan dengan Kementerian Kewangan supaya operasi ATM dapat berjalan seperti diharapkan.
“Bagaimanapun, segala masalah yang terbit mengenai pegawai ATM kebelakangan ini, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ATM sebagai sebuah institusi yang rosak atau tidak berintegriti.
“ATM, pada asasnya, masih berfungsi sebagai sebuah institusi pertahanan nasional yang hebat, unggul dan berfungsi dengan baik, yang menyumbang secara langsung kepada kestabilan negara, kemakmuran ekonomi dan keamanan yang sedang kita nikmati hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Penerangan Menteri Pertahanan mengenai isu terkini berkaitan rasuah dan salah guna kuasa dalam ATM di Dewan Rakyat pada hari ini (28 Januari).
MINDEF ambil langkah penguatkuasaan dan rencanan penambahbaikan
Menurutnya lagi, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga akan mengambil langkah-langkah penguatkuasaan serta rencana penambahbaikan demi mengukuhkan pertahanan dan kedaulatan Malaysia.
“Kementerian Pertahanan sedang mengambil tindakan drastik untuk memerangi segala kegelinciran integriti dan penyalahgunaan kuasa. Ia tidak akan membezakan sesiapa. Yang paling tinggi hingga yang paling bawah akan kehilangan kehormatan sebagai seorang pahlawan jika didapati bersalah.
“Mereka akan dihadapkan dengan pertuduhan jenayah dan kita serahkan kepada sistem keadilan negara untuk memutuskan dengan adil. Bagi kes-kes yang melibatkan kegiatan tidak bermoral seperti budaya hedonism dan salah laku pentadbiran, mahkamah ATM akan mengadili mereka,” katanya.
Masyarakat perlu munasabah dan adil dalam kritikan serta tegur ATM
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai agar bersikap munasabah dan berkeadilan dalam kritikan serta teguran terhadap ATM.
“Ya, ATM tidak sempurna 100%, sudah tentu ada ruang untuk diperbaiki dan ditambahbaik. Tetapi kewujudan elemen yang rosak dalam kalangan segelintir anggota tidak bermakna keseluruhan sistem itu bobrok dan gagal.
“Perbuatan segelintir yang tidak bertanggungjawab sama sekali tidak mewakili keseluruhan warga ATM. Rasuah dan penyelewengan bukan sinonim dengan ATM dan sistem pertahanan nasional,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Bekas PAT Berdepan 4 Tuduhan Termasuk Pecah Amanah RM3 Juta, Mengaku Tidak Bersalah
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong
Baca Artikel Berkaitan: Bekas PTD Dihadapkan Ke Mahkamah, Didakwa Terima Wang Haram Lebih RM2.1 Juta
