Sistem Saringan Kru Penerbangan Perlu Dikaji Semula, Pulihkan Keyakinan Penumpang - Tiong 

LocalTravel
9 Aug 2026 • 8:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sistem Saringan Kru Penerbangan Perlu Dikaji Semula, Pulihkan Keyakinan Penumpang - Tiong 

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa kawal selia penerbangan serta agensi berkaitan perlu mengkaji semula aspek pengurusan dalaman, kawalan keselamatan dan langkah pencegahan risiko bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pemeriksaan lebih ketat terhadap juruterbang dan kru kabin sebelum memulakan tugas juga wajar dilaksanakan secara bersepadu antara pihak berkuasa dan polis.

Menurut beliau, isu keselamatan penerbangan bukan sahaja membabitkan nyawa penumpang, malah turut memberi kesan terhadap keyakinan pelancong antarabangsa ke atas sistem keselamatan negara.

“Jika perlu, kakitangan boleh diarahkan melaporkan diri sehingga dua jam lebih awal sebelum bertugas untuk menjalani saringan. Mereka hanya dibenarkan memulakan tugas selepas melepasi saringan yang ditetapkan.

“Pakar berkaitan boleh menentukan jenis serta skop ujian yang bersesuaian. Apa yang paling penting, kita perlu mempunyai kaedah pencegahan lebih proaktif dan berkesan bagi mengelakkan kes seperti ini (penyeludupan bahan terlarang) daripada berulang.

“Semua pihak perlu bekerjasama menutup setiap ruang kelemahan, memulihkan keyakinan terhadap sektor penerbangan serta melindungi imej Malaysia,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang juruterbang Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia 28 Julai lalu, selepas disyaki cuba menyeludup dadah.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, selepas pemeriksaan terhadap bagasinya menemukan 15 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi serta methamphetamine.

Dalam pada itu, Tiong turut menggesa sistem saringan dan keselamatan di lapangan terbang dikaji semula, termasuk dari segi peralatan, prosedur serta penyelarasan antara agensi, supaya ia lebih berkesan dalam menangani dan mencegah ancaman keselamatan semasa.

Katanya, aspek keselamatan tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada prosedur, pemantauan dan operasi harian.

“Penumpang mempersoalkan mengapa Malaysia Airlines lebih menekankan bahawa suspek bukan pengendali penerbangan berkenaan, bukannya terlebih dahulu memohon maaf kepada orang ramai dan menangani isu yang berlaku.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha untuk meremehkan keseriusan kes berkenaan. Agensi dan syarikat tidak seharusnya menunggu sehingga sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku sebelum mengambil tindakan,” katanya. - Getaran, 9 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved