Siti Saleha Kembali Bergelar Isteri, Pereka Fesyen Jadi Pilihan

EntertainmentLifestyle
15 Feb 2025 • 2:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dengan sekali lafaz, pelakon popular, Siti Saleha, 35, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton, 38. 

Pasangan ini bernikah dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup di sebuah pusat peranginan di Janda Baik, Pahang kira-kira jam 9 pagi tadi.

Pemilik nama sebenar Siti Saleha Mohd Baharum itu dinikahkan oleh bapanya sendiri, Mohd Baharum Abd Rahman. Bagaimanapun, jumlah mas kahwin dan wang hantaran dirahsiakan.

Kedua-dua mempelai tampil menawan dalam persalinan rona putih. Sama cantik, sama padan.

Pada majlis itu, pengantin lelaki turut menyerahkan lima dulang dan dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.

Memetik laporan Harian Metro, Siti Saleha berkata, dia bersyukur kerana majlis pernikahannya berjalan lancar dan dipermudah seperti direncanakan.

"Alhamdulillah, saya sudah bersedia untuk kembali bergelar isteri. Saya memilih Joshua sebagai suami kerana kami memiliki banyak persamaan dan sama-sama berdarah kacukan Melayu-Inggeris.

"Saya juga berdoa semoga perkahwinan kali kedua ini diberkati Tuhan dan kekal hingga ke jannah," katanya, seperti dipetik Harian Metro.

Acara resepsi di sebelah pengantin perempuan diadakan sejurus majlis pernikahan selesai, iaitu pada jam 12 tengah hari tadi, manakala resepsi pihak lelaki dijadualkan pada minggu hadapan, bertempat di negeri kelahiran Joshua iaitu Melaka. 

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu.

Ini merupakan perkahwinan kedua Saleha, selepas mahligai yang dibina bersama Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017 terlerai 17 Januari 2022. - Getaran, 15 Februari 2025