Sivakumar, suami mangsa hilang dalam tragedi Nepal, tunggu panggilan untuk serah sampel DNA

1 Sep 2026 • 5:57 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Sivakumar, suami mangsa hilang dalam tragedi Nepal, tunggu panggilan untuk serah sampel DNA

KUALA LUMPUR - Waris mangsa yang masih gagal dikesan susulan tragedi banjir lumpur di Nepal minggu lepas kini bersiap sedia untuk menyerahkan sampel Asid Deoksiribonukleik (DNA) mereka dan hanya menunggu panggilan daripada pihak berkuasa bagi menjalani proses berkenaan.

Menurut suami kepada salah seorang mangsa, Sivakumar Kalimuthu, 57, anak-anaknya kini menunggu pemakluman rasmi untuk melakukan prosedur rujukan silang profil identiti.

Walaupun berada di Singapura, Langkawi dan Selangor, mereka telah diberikan penjelasan serta memahami kepentingan untuk berbuat demikian.

Sivakumar adalah suami kepada Kalai Mathe Karuppaiah, 57, iaitu warga Malaysia yang masih hilang dalam banjir besar di Nepal.

"Anak-anak semua dah sedia, tunggu esok atau bila-bila masa mereka panggil memandangkan semalam dan hari ini cuti... anak yang di Selangor boleh pergi dan DNA dia boleh digunakan, kami hanya tunggu panggilan daripada pihak polis," katanya kepada Bernama.

Terdahulu, sesi taklimat tertutup oleh Kementerian Luar pada Ahad lepas memaklumkan bahawa waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan digalakkan menjalani ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.

Langkah itu antara persediaan awal susulan penemuan beberapa jasad yang belum dikenal pasti di kawasan bencana dan terpaksa dikebumikan segera berikutan ketiadaan fasiliti penyimpanan bersesuaian di lokasi.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata isterinya antara warganegara Malaysia yang dilaporkan masih hilang ketika mengikuti ekspedisi ke Gunung Kailash di Tibet, China sebelum terputus hubungan akibat bencana alam tersebut.

Biarpun terpaksa melalui prosedur ujian DNA, Sivakumar berkata dia dan keluarga masih menaruh harapan tinggi serta terus berdoa agar isterinya berada dalam keadaan selamat serta dapat pulang ke tanah air.

Wisma Putra memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang dilaporkan tidak dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 orang di Nepal susulan banjir kilat dahsyat serta tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal yang berlaku pada 26 Ogos lepas.

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 804 orang manakala hampir 3,300 lagi masih hilang - 1 September, 2026.

The post Sivakumar, suami mangsa hilang dalam tragedi Nepal, tunggu panggilan untuk serah sampel DNA appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved