Sivasangari hampiri gelaran Terbuka Silicon Valley

25 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sivasangari hampiri gelaran Terbuka Silicon Valley

PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 4 dunia, S. Sivasangari mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut selepas membenam pemain muda India, Anahat Singh pada separuh akhir Terbuka Silicon Valley di Redwood City, California, Amerika Syarikat, semalam.

Anak jati Sungai Petani, Kedah itu menewaskan pencabar berusia 18 tahun yang kini menghuni ranking No. 15 dunia 5-11, 11-6, 11-4, 11-7 dalam masa 37 minit.

Kejayaan mara ke final juga merupakan kali pertama dilakukan Sivasangari pada Jelajah Dunia PSA bagi musim 2026/27, selepas dia sering terkandas di separuh akhir.

Sewaktu ditemu bual selepas perlawanan, Sivasangari memuji Anahat yang disifatkannya sebagai pemain berbakat besar dan juga sangat berbahaya.

“Dia kini antara pemain handalan dan masih terlalu muda. Hadir ke perlawanan, hari ini, saya bermula agak perlahan, tetapi, saya berjaya bangkit dan gembira cara saya menamatkan pertemuan ini,” katanya.

Menurut pemain berusia 27 tahun itu, amat mudah untuk terikut-ikut dengan rentak Anahat dan perlawanan itu bukanlah mengenai siapa yang mampu menghasilkan pukulan terbaik, tetapi, dia cuma perlu mencari ketepatan dalam permainan sendiri.

“Sebaik sahaja berjaya menemukannya, corak permainan mula berubah. Ada beberapa perkara yang boleh saya lakukan dengan lebih baik, namun secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan,” ujarnya.

Selain menghampiri gelaran sulungnya musim ini, Sivasangari turut memburu trofi keempatnya bagi kejohanan berstatus Gold, selepas Klasik London, dua tahun lalu dan Terbuka Australia serta Piala Grasshopper pada tahun ini untuk musim 2025/26.

Pemain No. 20 dunia, Farida Mohamed menjadi halangan terakhir perlu diatasi Sivasangari, hari ini dan dia perlu berhati-hati bagi mengelak menjadi mangsa kejutan wakil Mesir itu.

Dalam laluannya ke pentas akhir, Farida berjaya menumbangkan dua wakil tuan rumah iaitu juara bertahan yang juga bintang No. 5 dunia, Olivia Weaver di peringkat lapan terbaik dan pemain ke-12 dunia, Marina Stefanoni pada separuh akhir. – UTUSAN

The post Sivasangari hampiri gelaran Terbuka Silicon Valley appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved