Firma arkitek jawab isu rekaan rumah dikaitkan kes seleweng dana RM230 juta

LocalArchitecture
24 Apr 2026 • 12:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Firma arkitek jawab isu rekaan rumah dikaitkan kes seleweng dana RM230 juta
Perkongsian pengarah firma arkitek berkenaan berhubung isu rekaan rumah mirip kes seleweng dana RM230 juta.
Image from: Firma arkitek jawab isu rekaan rumah dikaitkan kes seleweng dana RM230 juta
Penjelasan pengarah firma arkitek berkenaan terhadap spekulasi yang timbul.

SHAH ALAM – Sebuah firma arkitek tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan orang ramai selepas reka bentuk sebuah rumah mewah yang terkait dengan kes penyelewengan zakat dikatakan mirip rekaan rumahnya sehingga mencetuskan spekulasi.

Perkara itu merujuk kepada laporan penyelewengan zakat bernilai kira-kira RM230 juta, susulan rampasan 18 kereta pelbagai jenama oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di kediaman berkenaan.

Pengarah MAG Architect Sdn Bhd, Dr Muhsin Abdul Ghani berkata, pihak tertentu telah menimbulkan fitnah terhadap MAG akibat salah sangka yang berlaku.

Menurutnya, MAG hanyalah arkitek, kontraktor dan juga pereka dalaman yang dilantik secara profesional oleh setiap pelanggan bagi merealisasikan rumah idaman mereka.

**media[3500625]**

"Segala perkhidmatan adalah di bawah kumpulan syarikat MAG iaitu MAG Architect Sdn Bhd (reka bentuk & kelulusan pelan), MAG Builders Sdn Bhd (pembinaan), dan MAG Design Sdn Bhd (interior design & kerja-kerja kemasan).

"Memang benar terdapat reka bentuk yang hampir sama dengan kediaman MAG sendiri, namun rumah tersebut dimiliki oleh pemilik yang berbeza, berada di lokasi yang berbeza dan dibangunkan untuk pelanggan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, persamaan dari sudut reka bentuk tidak sama sekali bermaksud pemilikan rumah tersebut adalah milik MAG.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat andaian atau menyebarkan tuduhan tanpa fakta yang tepat kerana boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi pihak yang terlibat.