Maklumat kes seleweng dana zakat di media sosial didakwa tidak tepat

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 9:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maklumat kes seleweng dana zakat di media sosial didakwa tidak tepat
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung penahanan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

SHAH ALAM - Banyak maklumat yang tersebar di media sosial berkaitan kes penyelewengan dana zakat didakwa tidak tepat.

Perkara itu dikongsikan seorang individu, Profesor Nazari Ismail yang mengakui merupakan ahli biasa Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Hulu Selangor dan turut mengenali secara peribadi individu yang ditangkap dan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, kekeliruan mungkin timbul apabila ramai tidak memahami mekanisme sebenar skim pembayaran zakat yang diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) iaitu `Taawun’.

"Menerusi skim tersebut, pembayar zakat boleh meminta 60 peratus daripada bayaran zakat mereka disalurkan kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menerima zakat di bawah salah satu kategori asnaf `Fisabilillah’.

"NGO tersebut kemudiannya akan mengembalikan 20 peratus kepada pembayar zakat untuk diagihkan semula kepada sesiapa sahaja (seperti ahli keluarga atau rakan-rakan) yang difikirkannya layak menerima zakat," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.

Tambah beliau, antara NGO yang dicalonkan untuk menerima wang zakat tersebut ialah IKRAM Hulu Selangor.

Menurutnya, individu utama yang disiasat yang dikenali sebagai Encik F merupakan ahli IKRAM Hulu Selangor dan fasilitator skim berkenaan.

"Beliau telah bekerja keras selama 20 tahun yang lalu untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat kepada MAIPs dan telah mengesyorkan agar mereka mencalonkan IKRAM Hulu Selangor untuk menerima 60 peratus.

"Nampaknya, beliau berjaya meyakinkan puluhan ribu rakyat Malaysia untuk berbuat demikian, sekali gus memperoleh lebih daripada dua bilion ringgit untuk dihantar ke MAIPs dalam tempoh 20 tahun," ujarnya.

Bagaimanapun, Nazari memaklumkan, angka tepat berkaitan dana tidak dapat diberikan memandangkan dirinya bukan ahli jawatankuasa IKRAM Hulu Selangor.

Menurutnya, ramai pembayar zakat berminat dengan skim itu kerana boleh mendapat balik 20 peratus daripada bayaran diberikan untuk diagihkan kepada sanak saudara dan kawan-kawan yang fakir dan miskin layak menerima zakat.

Jelas beliau, hasil usaha individu itu menyaksikan IKRAM Hulu Selangor menerima ratusan juta ringgit daripada MAIPs sebagai penerima zakat di bawah kategori Fisabilillah.

Katanya, sebagai asnaf, pertubuhan tersebut menggunakan dana bagi pelbagai tujuan termasuk aktiviti dakwah, penganjuran kuliah Islam, kursus belia, pembinaan sekolah, operasi kedai runcit kos rendah serta sumbangan kepada organisasi amal.

Menurutnya lagi, IKRAM Hulu Selangor turut memberi Encik F sebanyak 6.25 peratus daripada dana diterima sebagai galakan meneruskan usaha, dan perkara itu dikatakan halal menurut seorang agamawan dan majlis agama terlibat.

Nazari berkata, Encik F dan kepimpinan IKRAM kawasan itu sentiasa berunding dengan MAIPs bagi memastikan pengagihan dana zakat serta peratusan yang diberikan Encik F dipersetujui.

"Juruaudit Ikram HS mengatakan bahawa semuanya mengikut undang-undang. Bahkan Ikram HS melantik juruaudit luaran untuk mengaudit buku kewangan mereka," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, SPRM telah menyiasat IKRAM Hulu Selangor dua tahun lalu dipercayai hasil laporan bahawa Encik F mempunyai beberapa kereta mewah dan rumah besar, namun tiada kenyataan bahawa apa dilakukan Encik F dan IKRAM Hulu Selangor melanggar undang-undang.

"Jadi semua orang menyangka semuanya baik-baik saja. Jadi, penangkapan Encik F ini mengejutkan kita semua di IKRAM Hulu Selangor," kongsinya lagi.