Skandal perlombongan: SPRM akan panggil semula 8 Adun

LocalPolitics
11 Apr 2025 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Noor Zafira Zayn

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa terlibat dalam skandal perlombongan di Sabah, termasuk pemberi maklumat Albert Tei, bagi mengemukakan dokumen berkaitan siasatan kes.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil kesemua individu terbabit untuk mengesahkan kandungan 10 rakaman video yang didakwa berkaitan dengan kes itu.

“Kita akan mainkan dan tunjukkan pada mereka, minta mereka beri keterangan, kita mahu tahu wang itu rasuah atau sumbangan.

“Kita kini sedang menunggu keputusan analisis forensik bagi 10 rakaman video yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal rasuah lapan Adun Sabah,” katanya selepas program Cakna Media bersama SPRM di sini, pada Khamis.

Menurut Azam, kesemua video itu disiasat untuk memastikan ketulenan dan kesahihan kandungan bahan bukti.

“Saya beri jaminan, tidak ada sebarang campur tangan daripada Kerajaan Negeri Sabah untuk kes ini. Kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga kita rakam sebanyak dua kali untuk siasatan kes ini.

“Untuk pengetahuan, sebelum ini Albert Tei juga tidak pernah hadir untuk merekodkan kenyataan beliau bersama SPRM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam turut berkongsi bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan dipanggil semula bagi tujuan mengemukakan dokumen yang diperlukan untuk kesnya.

Sebelum ini, Ismail sudah memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berkenaan siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram berkenaan perbelanjaan dan perolehan dana program pada 24 Mac lalu.

Ismail dilaporkan sebagai suspek siasatan kes itu berikutan penemuan wang tunai berjumlah sekitar RM177 juta susulan suatu serbuan ke atas sebuah premis kediaman.

“Sitaan ini (RM177 juta) merupakan sitaan wang tunai dan jongkong emas yang paling besar, seperti yang saya jelaskan semasa sidang media baru-baru ini,” ujar beliau.