
Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Fahmi Fadzil, mengumumkan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menerbitkan sebuah kerangka kerja bagi mengawal selia pengoperasian media sosial (medsos) di Malaysia dalam masa sebulan. Apabila siap, semua penyedia platform media sosial perlu berdaftar menerusi kerangka itu bagi memudahkan pemantauan dilakukan.
Pembangunan rangka kerja itu sedang dimuktamadkan dengan mengambil kira input daripada luar negara dan perbincangan bersama-sama penyedia platform medsos. Objektif pertama yang ingin dicapai SKMM adalah memastikan semua penyedia perkhidmatan mendaftarkan diri.
Dalam hal yang berkaitan, Fahmi Fadzil memberitahu yang pihaknya tidak bercadang menutup mana-mana platform media sosial termasuklah TikTok bagi mengekang penularan maklumat palsu. Walau bagaimanapun, pihaknya akan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menyebarkan kenyataan berbaur hasutan.
Beliau turut menyentuh tentang situasi TikTok di Indonesia. Pemerintah di sana melakukan kawal selia terhadap platform TikTok berbanding menutupnya dan penutup TikTok Shop di sana tidaklah disebabkan maklumat palsu sebaliknya bagi melindungi aliran dagang yang berlaku di dalam negara.
Sumber: Bernama




