
KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi telekomunikasi membabitkan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pihaknya memandang serius perkara itu berikutan ia memberi gambaran terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan syarikat telekomunikasi.
“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi berkenaan dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.
"Saya juga akan meminta SKMM mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti seseorang (PII) tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.
Beliau turut meminta orang ramai yang mengalami insiden sama untuk membuat laporan kepada SKMM bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang melihat insiden serupa, sila buat laporan dengan SKMM supaya kita ada rekod dan ada bukti untuk kita ambil tindakan susulan,” katanya.
Terdahulu, Khairul Aming menerusi aplikasi Thread semalam, mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain dan disebarkan secara terbuka di media sosial.
Pempengaruh itu turut meminta penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi berkenaan mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang didedahkan oleh seorang pengguna media sosial.






