SkyeChip tembusi rantaian AI global selepas raih tempahan dari Amerika Syarikat -  Phillip Capital

LocalTechnology
29 Jul 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SkyeChip tembusi rantaian AI global selepas raih tempahan dari Amerika Syarikat -  Phillip Capital Image from: SkyeChip tembusi rantaian AI global selepas raih tempahan dari Amerika Syarikat -  Phillip Capital amree29/07/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 JulaiSkyeChip Berhad semakin memperluaskan kedudukannya dalam rantaian bekalan semikonduktor kecerdasan buatan (AI) global selepas meraih tempahan dari Amerika Syarikat (AS).

 

Menurut Phillip Capital, situasi itu membuka banyak peluang kepada projek cip bernilai tinggi, meskipun syarikat masih berdepan cabaran pengkomersialan teknologi baharu dan ketidaktentuan dasar cukai.

 

Ujarnya, kejayaan menembusi pasaran AS dan peningkatan permintaan terhadap reka bentuk cip AI mendorongnya mengekalkan saranan 'beli', serta menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM3.50 sesaham.

 

"Kami turut meningkatkan unjuran hasil SkyeChip hingga FY29 sebanyak 12%, disokong andaian nilai projek lebih tinggi dan permintaan kukuh reka bentuk semikonduktor AI berprestasi tinggi," katanya.

 

Tambah Phillip Capital, kumpulan itu ada 26 pelanggan aktif pada FY26 berbanding hanya 14 pada FY25, dengan pasaran AS dan Korea Selatan menyumbang 24% daripada hasil keseluruhan syarikat.

 

Perkembangan itu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, manakala pelanggan baharu di AS, membolehkannya membekalkan harta intelek semikonduktor (silicon IP) berkelajuan tinggi.

 

SkyeChip_DagangNews2026

 

Firma itu berpandangan pendedahan langsung kepada ekosistem AI berskala besar, sekali gus akan meningkatkan potensi syarikat memperoleh projek cip AI yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.

 

"Permintaan kukuh infrastruktur AI telah meningkatkan kadar penggunaan tenaga kejuruteraan SkyeChip kepada 100% pada 1QFY27, dengan jumlah pekerja teknikal dijangka berkembang," kata Phillip Capital.

 

Pada masa sama, kumpulan turut memperkukuh keupayaan teknologi melalui perjanjian dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), selain menyasarkan pembangunan pemproses pelayan baharu.

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan sumbangan kewangan daripada projek-projek tersebut hanya ketara dalam beberapa tahun akan datang memandangkan pembangunan cip semikonduktor lazimnya mengambil masa.

 

Phillip Capital juga menjangkakan keuntungan teras FY27 berkembang 35% didorong pengkomersialan produk generasi baharu, pertambahan pelanggan di AS serta peningkatan kapasiti kejuruteraan.

 

"Kami menegaskan prospek jangka panjang SkyeChip adalah kekal positif, disokong ledakan pelaburan AI global, namun pelabur perlu mengambil kira pelbagai risiko yang boleh menjejaskan hasil," katanya.

 

Ini termasuk pengukuhan nilai ringgit, margin yang lebih rendah daripada jangkaan, ketidakpastian insentif cukai perintis serta kelewatan pengkomersialan produk baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved