SkyWorld catat pendapatan RM74.6 juta pada suku pertama FY26

22/08/2025 - 18:36
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – SkyWorld Development Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM74.6 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (1QFY26)
Ia juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing berjumlah RM5.6 juta dan RM2.8 juta.
Prestasi ini disokong oleh kemajuan stabil daripada dua projek sedia ada yang masih berjalan, iaitu Curvo Residences dan Vesta Residences.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, syarikat telah melancarkan projek perumahan mampu milik utama, SkyWorld Pearlmont di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan SkyAwani PRIMA di Brickfields, Kuala Lumpur.
“Pada bulan Ogos, kami juga melancarkan SkyAman 1 di Cheras, Kuala Lumpur, sebuah kondominium berkapasiti rendah dengan 510 unit, direka untuk mempromosikan gaya hidup seimbang, harmoni dan kesejahteraan.
“Selain pelancaran ini, kami mempunyai beberapa projek lain dalam perancangan dan berada pada landasan yang betul untuk melaksanakan pembangunan dengan jumlah GDV melebihi RM2 bilion dalam tahun kewangan semasa.
“Kami optimis pelancaran ini akan menyokong prestasi jualan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan ini dan mengekalkan posisi kukuh syarikat untuk mencapai sasaran RM4.6 bilion bagi pelancaran projek menjelang akhir tahun 2026,” katanya.
Ketika ini, syarikat berada pada kedudukan kewangan yang kukuh dengan baki tunai dan bank sebanyak RM387.2 juta serta nisbah net gearing rendah iaitu 0.12 kali, mengekalkan asas kewangan yang kukuh untuk menyokong operasi, membiayai projek dan menguruskan sebarang kemungkinan kontingensi. - DagangNews.com
standard



