SkyWorld, MARA perkukuh pelaburan dan pendidikan

LocalBusiness & Finance
5 May 2026 • 3:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SkyWorld, MARA perkukuh pelaburan dan pendidikan
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan MoU antara Asyraf (dua dari kiri) dan Chee Seng (tengah) ketika Sidang Kemuncak Sinergi MARA: Kemampanan sebagai Enjin Pertumbuhan Negara bersempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA di WTCKL, pada Isnin.

KUALA LUMPUR - SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) memeterai kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pelaburan strategik dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld, Lee Chee Seng berkata, kerjasama dengan MARA itu mencerminkan komitmen syarikat bukan sahaja dalam membina kediaman tetapi juga komuniti mampan serta peluang masa depan.

"Usaha ini selaras dengan aspirasi menggabungkan kepakaran SkyWorld dalam pembangunan bandar bersama mandat kukuh MARA dalam memacu kemajuan sosio-ekonomi.

“Kami menyasarkan untuk mewujudkan impak bermakna menerusi pelaburan strategik dan inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Majlis yang berlansung pada Sidang Kemuncak Sinergi MARA: Kemampanan sebagai Enjin Pertumbuhan Negara bersempena sambutan ulang tahun ke-60 MARA di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki

Mengulas lanjut, Chee Seng berkata, MoU tersebut menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak dengan fokus bersama untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta pembangunan bakat di Malaysia.

Ujarnya, menerusi kerjasama itu SkyWorld dan MARA akan bersama-sama meneroka peluang pelaburan berimpak tinggi, termasuk pembangunan hartanah, infrastruktur sokongan, kemudahan komersial dan pembangunan berteraskan komuniti.

"Selain itu, kami akan bekerjasama dalam inisiatif pendidikan seperti latihan industri, kerjasama penyelidikan, perkongsian ilmu dan penanda aras teknologi bagi melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.

"MoU tersebut juga menyediakan rangka kerja kerjasama bagi tempoh tiga tahun dengan kedua-dua pihak komited untuk terus membangunkan inisiatif serta program khusus menerusi pelaksanaan yang dipersetujui bersama," katanya.

Menurutnya, kerjasama strategik tersebut turut menzahirkan komitmen berterusan SkyWorld dalam menyumbang kepada pembinaan negara menerusi pembangunan mampan dan berteraskan komuniti, selain menyokong inisiatif yang memperkasa modal insan serta pertumbuhan inklusif.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved