SLGC Bhd rancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
12 Dec 2025 • 5:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SLGC Bhd rancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia
image is not available
liza12/12/2025 - 17:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Dis – Syarikat  perkhidmatan pembinaan, SLGC Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan baharu.

 

Menurut draf prospektus yang difailkan dengan Bursa Malaysia Securities, tawaran awam permulaan (IPO) itu akan merangkumi 105 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 63 juta saham sedia ada.

 

Syarikat yang kini diterajui Pengarah Urusannya, Yong Zhen Lin dengan pegangan 82.2% itu sedang mencari dana untuk membeli mesin dan peralatan baharu, membayar balik pinjaman bank, menaik taraf perisian pengurusan pembinaan, modal kerja am, serta menampung kos berkaitan penyenaraian.

 

Berpangkalan di Johor, SLGC ialah kontraktor pembinaan CIDB G7yang ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah nama SLG Construction Sdn Bhd sebelum diperbadankan pada 2024. 

 

Syarikat ini juga mempunyai pejabat operasi di Taman Gembira, Kuala Lumpur.

 

Berdasarkan draf prospectus itu, SLGC memaklumkan ia terlibat dalam perkhidmatan reka bentuk dan bina serta perkhidmatan pembinaan bangunan untuk projek kediaman dan komersial.

 

Pelanggan syarikat termasuk pemaju hartanah dan pemilik bangunan di Malaysia.

 

Harga IPO dan penilaian pasaran syarikat masih belum diumumkan.

 

Sebanyak 28 juta saham diperuntukkan kepada orang ramai di Malaysia manakala dua juta saham untuk individu yang layak. 

 

Syarikat juga memperuntukkan 70 juta saham untuk pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian dan lima juta saham untuk pelabur terpilih.

 

Sementara itu, tawaran penjualan melibatkan penempatan persendirian 63 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih.

 

Selepas penyenaraian, pegangan Yong akan berkurangan kepada 59.6%. Pegangan isterinya, Chew Ka Yan pula akan berkurangan daripada 3.6% kepada 1.8%.

 

Pemegang saham utama Liong Yang Herng yang juga berkhidmat di lembaga MSB Global Group Bhd dan Powertechnic Group Bhd, dua syarikat yang baru disenaraikan tahun ini di Pasaran ACE serta Loo Chun Kok masing-masing memiliki 7.1% saham SLGC dan akan berkurangan kepada 4.3% setiap seorang.

 

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, syarikat melaporkan keuntungan bersih RM16 juta berbanding pendapatan RM229.6 juta.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penanggung dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com

Terkini standard