SHAH ALAM – Gangguan sistem aplikasi Smart Selangor dan Flexi Parking yang menjejaskan urusan pembayaran parkir di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Selasa didakwa berpunca daripada insiden penggodaman, bukan sekadar proses migrasi pelayan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Portal teknologi Amanz.my melaporkan, laman Gotchaa Lab mendedahkan sistem yang digunakan kedua-dua aplikasi itu dipercayai telah digodam.
Menurut portal terbabit, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini menjelaskan gangguan yang berlaku disebabkan proses migrasi sistem ke pelayan (server) baharu.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, penggodam mendakwa berjaya melakukan serangan selepas mengeksploit dua kelemahan pada sistem digunakan.
"Penggodam berkata serangan dilakukan sebagai memberikan pengajaran kepada pengendali supaya menjaga keselamatan data pengguna dan tidak membiarkan ia dicuri sebelum dijual penggodam luar," menurut portal berkenaan.
Artikel itu turut memaparkan tangkapan skrin sebagai 'Proof of Concept' yang didakwa menunjukkan bukti penggodam berjaya mengakses pangkalan data pengguna.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak pengendali aplikasi berhubung dakwaan penggodaman itu termasuk sama ada berlaku kebocoran data pengguna atau langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan.
Orang ramai yang menggunakan aplikasi Smart Selangor dan Flexi Parking dinasihatkan mengikuti perkembangan semasa serta menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa dan pengendali sistem berhubung insiden berkenaan.




