
Jika anda tinggal di Selangor atau Kuala Lumpur, ada mungkin menyedari pembayar tempat letak kereta menggunakan aplikasi Smart Selangor dan Flexi Parking tergendala sejak semalam. Menteri Besar Amirudin Shari mengeluarkan kenyataan mengatakan gangguan berlalu kerana sistem sedang menjalankan proses migrasi ke pelayar baharu. Tetapi hari ini laman Gotchaa Lab mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku sistem yang digunakan telah digodam.

Kumpulan penggodam menggunakan nama “MelayuSpiritual” mengaku melakukan serangan selepas mengeksploit dua kelemahan pada sistem yang digunakan. Penggodam berkata serangan dilakukan sebagai memberikan pengajaran kepada pengendali supaya menjaga keselamatan data pengguna dan tidak membiarkan ia dicuri sebelum dijual penggodam luar.

Aplikasi walaupun masih boleh dibuka mempunyai masalah mengakses lokasi pengguna yang ingin melakukan pembayaran dan proses membayar tidak dapat diteruskan. Jika percubaan dilakukan, notis mengatakan ralat pada sistem akan dipaparkan. Kerana serangan ini pembayaran parkir menggunakan aplikasi Jom Parkir JomParking, Touch ‘n Go eWallet, Setel dan NINE turut terjejas.
Proses mengembalikan semula perkhidmatan masih lagi sedang dilalukan oleh pengendali perkhidmatan. Buat masa ini saman tidak dikenakan ke atas pengguna yang tidak membayar parkir di kawasan yang terjejas.



