SMC dinamakan Hospital No.1 Malaysia Bagi Pediatrik oleh Newsweek

LocalHealth & Fitness
25 Sep 2026 • 5:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SMC dinamakan Hospital No.1 Malaysia Bagi Pediatrik oleh Newsweek

PETALING JAYA – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatat satu pencapaian besar dengan penarafan buat julung kalinya dalam senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek.

SMC meraih kedudukan No.1 di Malaysia bagi Pediatrik, di mana Onkologi diiktiraf sebagai bidang rawatan yang paling cemerlang dalam kepakaran tersebut.

Pencapaian ini bertepatan dengan perkembangan perkhidmatan pediatrik SMC menerusi pembukaan Menara F, iaitu Menara Kanak-kanak khas hospital berkenaan, sekali gus memperkukuhkan keupayaannya untuk menyediakan penjagaan kesihatan kanak-kanak yang menyeluruh, bersepadu dan berteraskan keluarga.

Ia meletakkan SMC dalam kalangan hospital terkemuka dunia sebagai sebahagian daripada ranking global yang merangkumi 13 bidang kepakaran perubatan, termasuk Mayo Clinic – Rochester (Amerika Syarikat), Cleveland Clinic (Amerika Syarikat) dan Johns Hopkins Hospital (Amerika Syarikat).

Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pengiktirafan sulung itu mencerminkan perkembangan Kumpulan dalam kepakaran pediatrik, onkologi dan neurologi di peringkat serantau.

“Pengiktirafan dalam bidang pediatrik khususnya amat signifikan dan diperoleh pada masa yang tepat sempena dengan pembukaan Menara Kanak-kanak khas kami dengan kapasiti 216 katil.

“Menara ini menghimpunkan pelbagai perkhidmatan subkepakaran pediatrik, termasuk hematologi dan onkologi pediatrik yang disokong oleh pasukan multidisiplin pediatrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras dengan komitmen terhadap penjagaan khusus, SMC mempunyai Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak, yang merangkumi subkepakaran pediatrik yang menyeluruh dalam kalangan hospital di Malaysia.

SMC juga merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Kecemasan & Walk-In Kanak-Kanak 24 jam, menyediakan rawatan kecemasan bagi bayi, kanak-kanak dan remaja serta dilengkapi Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) yang komprehensif dan kemudahan wad pesakit dalam yang khas. – KOSMO! ONLINE

 

The post SMC dinamakan Hospital No.1 Malaysia Bagi Pediatrik oleh Newsweek appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved