SMRT lantik Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah baharu

09/09/2025 - 09:30
Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Penyedia rumusan Internet pelbagai benda (IoT) perusahaan, SMRT Holdings Berhad melantik Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah yang baharu berkuat kuasa 8 September 2025.
SMRT dalam satu kenyataan memaklumkan, Dr Mazlan berpengalaman luas membawa bersama kepakaran lebih tiga dekad perkhidmatan dalam sektor awam, khususnya dalam bidang tadbir urus, kepimpinan institusi dan dasar awam.
“Dr. Mazlan memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1988 sebelum menyandang beberapa jawatan utama dalam perkhidmatan awam.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, selain pernah mengetuai Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
“Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, di mana beliau dikenali kerana memperjuangkan agenda pemodenan institusi, kebajikan pelajar serta pembangunan landskap pendidikan tinggi negara,” menurut SMRT.
Dari sudut akademik, Dr. Mazlan memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana dalam Dasar Sains dari Universiti Saitama, Jepun, serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan dari University of Hull, United Kingdom.
Pelantikan ini diyakini dapat memperkukuh kedudukan SMRT sebagai penyedia penyelesaian teknologi tulen berasaskan IoT, di samping melonjakkan strategi pertumbuhan syarikat di rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SMRT, Maha Palan berkata, pihaknya amat berbesar hati menyambut kehadiran Dr. Mazlan sebagai Pengerusi baharu.
“Kami yakin pengalaman luas beliau dalam aspek tadbir urus, kepimpinan institusi dan pembangunan dasar akan menjadi aset penting ketika SMRT mengembangkan operasi di peringkat serantau.
“Pandangan strategik beliau diyakini mampu memperkukuh kerangka tadbir urus Kumpulan serta memberikan bimbingan dalam menyokong aspirasi pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi, Subramanian A/L Amamalay atas kepimpinan dan sumbangannya sepanjang tempoh perkhidmatan di SMRT.- DagangNews.com
standard


