
Di acara Google I/O 2026 awal pagi tadi, Google secara rasminya memperlihatkan dua rekaan pertama cermin mata pintar Android XR yang akan dipasarkan pada musim luruh akan datang. Ia adalah cermin mata yang dibangunkan dengan kerjasama Samsung, Gentle Monster dan Warby Parker.

Dua cermin mata ini adalah dari jenis audio dengan sokongan pembantu maya, dilengkapi kamera dan tidak dilengkapi skrin terbina. Satu rekaan Warby Parker lebih konvensional seakan cermin mata preskripsi manakala satu lagi oleh Gentle Monster lebih bergaya dengan ia kelihatan lebih feminin serta mirip cermin mata hitam biasa.

Dengan cermin mata pintar ini, Google berkata ia cuba mengurangkan penggunaan telefon pintar walaupun kedua-dua peranti memerlukan telefon pintar untuk berfungsi seperti sepasang Ray-Ban Meta. Menerusi kamera terbina ia boleh memahami apa yang sedang dipandang pemakai. Ia boleh memberikan arahan navigasi langkah-demi-langkah.

Integrasi ejen AI Gemini membolehkan pembelian dilakukan dengan arahan suara tanpa pemilik membuka telefon pintar. Semua pengesahan pembelian dilakukan dengan arahan suara sahaja. Ia turut mempunyai integrasi jam tangan pintar Wear OS.
Seperti demo tahun lalu, terjemahan bahasa secara masa nyata boleh dilakukan juga. Terdapat integrasi Uber, belajar bahasa melalui Mondly, dan banyak lagi menurut Google apabila dilancarkan kelak.




