SoftBank Group, Grab, dan PETROS (Petroleum Sarawak Berhad) telah menandatangani perjanjian rangka kerja untuk meneroka pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital di Sarawak. Ketiga-tiga pihak akan bekerjasama membangunkan pelan hala tuju berfasa bagi platform AI dan infrastruktur digital di Sarawak.

Kerjasama ini turut meneliti peluang dalam keseluruhan rantaian nilai AI, termasuk kuasa pemprosesan AI, perkhidmatan AI, robotik, teknologi terkini, pembangunan tenaga kerja tempatan dan pembangunan komuniti.
Sofbank akan menawarkan kepakaran dalam AI, pengkomputeran maju, semikonduktor dan AI fizikal. Grab pula menyumbang kepada ekosistem digital Asia Tenggara, keupayaan AI praktikal serta rangkaian pelanggan dan rakan niaga serantau. Akhir sekali PETROS menyumbang kepakaran tenaga Sarawak, pembangunan bekalan tenaga dan infrastruktur sokongan melalui Sarawak Gas Roadmap serta Kuching Low-Carbon Hub (KLCH).
Kerjasama ini bertujuan membantu menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama infrastruktur AI dan industri teknologi bernilai tinggi.





