amree09/10/2026 - 10:30 ABANG Johari (tiga dari kanan) bergambar selepas pemeteraian kerjasama dengan SoftBank, Grab dan Petros di Kuching, Sarawak. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt — Sarawak memperkukuh hasrat sebagai hab kecerdasan buatan (AI) serantau melalui kerjasama strategik dengan gergasi pelaburan teknologi Jepun, SoftBank Group Corp; platform digital, Grab Holdings Limited serta syarikat minyak, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Langkah itu menyaksikan ketiga-tiga pihak memeterai perjanjian rangka kerja bagi meneroka pembangunan platform infrastruktur AI dan digital di Sarawak, sekali gus membuka ruang negeri itu untuk menarik pelaburan strategik serta mengembangkan industri teknologi bernilai tinggi.
Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak, tiga pihak itu akan bekerjasama membangunkan pelan hala tuju pelaksanaan platform secara berperingkat, namun usaha itu masih pada peringkat awal penerokaan dan belum menetapkan skala pelaburan, nilai projek atau jadual pelaksanaan secara muktamad.
"Skop kerjasama turut meliputi peluang sepanjang rantaian nilai AI, termasuk pengkomputeran dan perkhidmatan AI, teknologi termaju, robotik serta pembangunan pekerja tempatan bagi memastikan penduduk Sarawak turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri berkenaan," katanya.
Perjanjian berkenaan dimeterai di Pejabat Premier Sarawak di Kuching yang melibatkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SoftBank, Masayoshi Son; Pengerusi dan CEO merangkap pengasas bersama Grab, Anthony Tan; serta CEO Kumpulan Petros, Dato Janin Girie.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut hadir pada majlis berkenaan bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Ibrahim Baki, Pengerusi Petros, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, serta anggota Lembaga Pengarah Petros, Datuk Sharbini Suhaili.
Kerjasama Wujudkan Nilai Dalam Rantaian Bekalan di Sarawak
SoftBank akan menyumbang kepakaran dalam ekosistem teknologi dan AI global, termasuk infrastruktur AI, pengkomputeran termaju, semikonduktor serta 'fizikal AI', iaitu sejenis teknologi AI yang berinteraksi dengan dunia fizikal melalui sistem seperti robot dan mesin pintar.
"Grab pula akan membawa keupayaan AI gunaan serta ekosistem digitalnya yang merangkumi pelanggan dan rakan niaga di seluruh Asia Tenggara, manakala PETROS memanfaatkan kepakaran dalam pembangunan sumber tenaga dan infrastruktur bagi menyokong keperluan industri baharu itu," katanya.
Peranan Petros turut meliputi pembangunan rumusan bekalan tenaga dan prasarana sokongan, selaras Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta tanggungjawabnya sebagai pemaju utama Kuching Low-Carbon Hub (KLCH), sekali gus memperkukuh penyertaan tempatan dan mewujudkan nilai dalam rantaian bekalan.
Kerjasama berkenaan turut disasarkan menyokong peluasan infrastruktur digital dan ketersambungan Malaysia, termasuk inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela), di samping menyokong agenda ekonomi digital dan AI negara di bawah kerangka Ekonomi Madani serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Pada masa sama, kenyataan tersebut menambah, inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Sarawak untuk mencapai status sebagai negeri yang berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
"Jika direalisasikan, pembangunan tersebut berpotensi menarik pelaburan, membina bakat tempatan dan merancakkan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi di Sarawak serta rantau lebih luas, tertakluk kepada hasil kajian dan pelaksanaan seterusnya," katanya. - DagangNews.com






