Softbank Membeli Kilang Foxconn Di Ohio Untuk Membangunkan Komponen Pusat Data Stargate

TechnologyBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 12:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Softbank baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan membeli pegangan saham di Intel bernilai $2 bilion. Dalam pada itu, mereka juga dilaporkan telah membeli salah satu daripada kilang Foxconn di Ohio, yang bertujuan untuk membangunkan komponen-komponen untuk pusat data kecerdasan buatan Stargate, iaitu projek kerjasama diantara mereka dan OpenAI.

Kilang tersebut, yang terletak di bandar Lordstown, Ohio sebelum ini dimiliki oleh Foxconn, dan digunakan untuk mengilangkan kereta-kereta elektrik yang dijual di Amerika Syarikat. Foxconn mengesahkan pengambilalihan tersebut semalam, dan mengatakan bahawa walaupun ia kini dimiliki oleh Softbank, Foxconn masih lagi akan beroperasi di lokasi tersebut, dan menghasilkan komponen-komponen pusat data AI untuk pihak Softbank.

Softbank telah membayar Foxconn sebanyak $375 juta untuk memiliki kilang dan tanah tersebut, yang hadir dengan saiz 6.2 juta kaki persegi dan akan digunakan khusus untuk penghasilan komponen projek pusat data Stargate tersebut.

image is not available

Pengambilalihan kilang Foxconn juga bukanlah sesuatu yang baru. Pengerusi syarikat tersebut, Young Liu mengatakan bahawa perbincangan telah berlaku untuk pengambilalihan ini sejak enam bulan yang lepas, dan semuanya dilakukan untuk memastikan bahawa kedua-dua syarikat mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan wang untuk pelaburan ini dan juga untuk membolehkan kilang ini bersedia untuk memulakan proses pengilangan komponen pusat data secepat yang mungkin.

Foxconn secara teknikalnya sudahpun menjadi pengeluar kelengkapan AI yang terbesar di dunia, tetapi skala pengambilalihan kilang Ohio ini dilihat unik walaupun untuk mereka, kerana kilang tersebut akan menghasilkan bahagian pusat data khusus untuk projek pusat data AI Stargate, yang mempunyai sasaran untuk membangunkan rangkaian pusat data dengan nilai $500 bilion dalam masa beberapa tahun akan datang.