
JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara terpaksa berpuas hati di tempat terakhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 selepas tewas 2-3 dengan Afrika Selatan di Stadium Hoki Taman Daya, petang tadi.
Sepanjang kejohanan yang disertai enam negara itu, Malaysia seri satu perlawanan iaitu ketika menentang Jepun yang berkesudahan 2-2 dan kalah dalam lima perlawanan lain menentang Australia, Great Britain, India serta Afrika Selatan hari ini.
Dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam itu, skuad Afrika Selatan membuka jaringan pada suku pertama menerusi Niel Raath yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-11.
Malaysia bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi sudut pukulan penalti oleh Muhammad Amirul Haniff Mamat.
Memasuki suku kedua, Afrika Selatan kembali mengejar hasil gol padang Hans Neethling pada minit ke-25.
Pasukan kendalian Guy Elliott itu terus menambah jaringan pada suku ketiga, apabila Raath berjaya mengelirukan penjaga gol negara Muhammad Amir Muhaimin Ahmad Mustaqiem dengan menolak bola masuk ke sebelah kanan gawang ketika melakukan penalti stroke pada minit ke-36.
Anak didik Muhammad Amin Rahim bagaimanapun tidak mahu mengalah dan berjaya menambah jaringan kedua buat Malaysia empat minit sebelum perlawanan tamat, dengan pukulan sudut penalti oleh Mohamad Zulhanif Sahran.
Kedudukan Malaysia 2 dan Afrika Selatan 3 kekal sehingga tiupan wisel penamat.
Kali terakhir skuad hoki bawah 21 tahun negara muncul juara adalah pada edisi pertama SOJC pada 2012.
Muhamad Amin berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya itu memandangkan mereka kekurangan dari segi latihan.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan (penyudah) pukulan penalti pemain dalam kejohanan ini (terutamanya apabila mereka) kekurangan latihan dan pendedahan perlawanan antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Beliau berkata fokus selepas ini adalah untuk menyiapkan skuad itu bagi menghadapi Hoki Piala Dunia Remaja, November tahun depan.-Bernama
