'Saya hanya bawa suara rakyat berhubung isu ternakan babi moden' - ADUN Seri Kembangan

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 3:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya hanya bawa suara rakyat berhubung isu ternakan babi moden' - ADUN Seri Kembangan
Siew Ki

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menegaskan kenyataannya yang mencadangkan penternakan babi secara moden dibenarkan di Selangor adalah berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang dipilih, menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa dan menyuarakan isu berkaitan ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ADUN, jadi apa-apa isu berkaitan rakyat, kita bawa ke Sidang Dewan,” katanya ketika ditemui pada Khamis.

Siew Ki menjelaskan beliau sedia berdepan sebarang tindakan termasuk sekiranya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor susulan isu berkenaan.

"Saya sudah sampaikan dalam Dewan. Perkara lain bukan tanggungjawab saya dan tak mahu komen lanjut,” katanya.

Terdahulu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.

Beliau berkata, cadangan itu mengambil kira aspek kesamarataan warganegara seperti yang dijamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin mengemukakan usul tergempar untuk merujuk Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Afif menjelaskan, usul itu dihantar kepada Pejabat DUN Selangor pada Khamis mengikut Peraturan 26(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan telah diterima untuk pertimbangan.