AMD telah membuat pengumuman hari ini dan mengatakan bahawa sokongan untuk teknologi AMD FSR 4.1 kini sudah boleh dimuat-turun untuk siri kad grafik AMD Radeon RX 7000. Perkara ini disahkan sendiri oleh Jack Huynh, Senior VP dan Pengurus Besar untuk bahagian Compute & Graphics di AMD.
Beliau mengeluarkan kenyataan di platform media sosial X dengan mengatakan bahawa teknologi peningkatan resolusi grafik FSR 4.1 kini sudah mula ditawarkan untuk kad-kad grafik siri RDNA 3 tersebut, bersama-sama dengan pengumuman Valve yang mengatakan bahawa Steam Machine kini sudah boleh ditempah.
Teknologi AMD FSR 4.1 merupakan teknologi penskalaan resolusi dalam permainan binaan AMD yang menggunakan kebolehan kecerdasan buatan yang juga boleh digunakan untuk mengolah grafik yang lebih tajam dan meningkatkan kadar bingkai tanpa merosakkan butiran-butiran olahan grafik. Teknologi ini sebelumnya hanya ditawarkan pada siri kad grafik AMD Radeon RX 9000 (RDNA 4), tetapi AMD kemudiannya mengesahkan bahawa ciri ini akan diperkenalkan pada kad-kad grafik sebelum ini.

AMD FSR 4.1 sepatutnya diperkenalkan untuk siri kad grafik AMD Radeon RX 7000 pada awal bulan Julai, akan tetapi dengan kemaskini fail FSR 4.1 INT8 yang diperlihatkan oleh Valve untuk perisian Proton Experimental yang membolehkan kad-kad grafik Radeon RX 7000 untuk menggunakan teknologi FSR 4.1 pada sistem operasi Linux, membuatkan AMD mengesahkan sokongan tersebut secara rasmi.
Malah, melalui kemaskini ini ia juga dapat diperlihatkan bahawa siri cip grafik AMD RDNA 3.5 juga kini hadir dengan sokongan untuk teknologi olahan grafik tersebut. Untuk siri kad grafik AMD RDNA 2, kad-kad ini nampaknya masih perlu menunggu sehingga tahun hadapan untuk menerima sokongan FSR 4.1.
Kemaskini ini boleh dimuat-turun melalui perisian AMD Software: Adrenaline Edition.
Sumber: VideoCardz


