Beberapa minggu lalu kami telah melaporkan bahawa AMD akan memperkenalkan teknologi olahan grafik FSR 4.1 pada kad-kad grafik generasi sebelum seperti RDNA 3 dan juga RDNA 2.Seperti yang sedia maklum, siri kad grafik AMD RDNA 3 ataupun AMD Radeon RX 7000 akan memperlihatkan ciri ini pada bulan Julai ini, manakala sokongan untuk siri kad grafik Radeon RX 6000 pula hanya akan tiba pada tahun 2027 kelak.

Laman berita teknologi TechPowerUp telah melaporkan bahawa perbezaan besar diantara kedua-dua siri kad grafik tersebut adalah kerana teknologi FSR 4.1 dibina dengan sokongan format nombor FP8 yang tidak ada pada kedua-dua model lama tersebut. Untuk siri kad grafik RDNA 3, ia sekurang-kurangnya hadir dengan sokongan format nombor INT8 yang sedikit berbeza berbanding yang masih boleh digunakan untuk menyokong teknologi AI dalam FSR 4.1.

Untuk siri kad grafik AMD RDNA 2 pula, siri kad grafik ini tidak mempunyai sebarang sokongan teknologi pemprosesan AI, dan memerlukan teras Stream Processor yang bertanggungjawab untuk olahan grafik raster untuk menggunakan ciri-ciri yang terbina pada FSR 4.1. Pihak AMD mengatakan bahawa perkara ini akan memerlukan masa yang lebih lama untuk diimplimentasi pada siri kad grafik AMD Radeon RX 6000, dan oleh itu kehadiran sokongannya ditetapkan pada tahun 2027.
Komitmen AMD terhadap memperkenalkan sokongan teknologi olahan grafik terbaru merupakan satu langkah untuk syarikat tersebut memanjangkan hayat siri kad-kad grafik yang lebih lama. FSR 4.1 khususnya menawarkan ciri-ciri seperti peningkatan resolusi permainan menggunakan AI, penambahbaikan sokongan Ray-tracing untuk olahan permainan yang lebih cantik dan juga pengubahsuaian tetapan grafik dinamik bergantung kepada tajuk permainan dan spesifikasi komputer.
Sumber: TechPowerUp




