amree29/05/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei — Solarvest Holdings Berhad memperluaskan kedudukannya di Sarawak menerusi pelaburan strategik mencecah sebanyak RM12.38 juta dalam Hartanah Kenyalang Berhad.
Kumpulan tersebut melanggan 45 juta saham biasa baharu syarikat berkenaan menerusi penempatan persendirian pada harga 27 sesaham, yang akan dibiayai sepenuhnya melalui sumber dana dalaman.
Susulan pelaburan tersebut, Solarvest kini muncul sebagai pemegang saham utama Hartanah Kenyalang dengan pegangan sebanyak 6.6% dalam modal terbitan yang diperbesarkan oleh syarikat berkenaan.
"Harga terbitan saham tersebut mewakili diskaun kira-kira 36% berbanding harga penutupan iaitu 43 sen sesaham pada akhir dagangan 28 Mei 2026," jelas kumpulan berkenaan menerusi satu kenyataan.
Hartanah Kenyalang merupakan syarikat tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia yang terlibat dalam perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur, dengan fokus utama terhadap projek di Sarawak.
Ini termasuk sekolah, jalan raya, jambatan, perparitan dan kemudahan awam. Solarvest berkata, pelaburan itu sejajar dengan strategi kumpulan bagi memperkukuh ekosistem tenaga bersih bersepadu.
Menurutnya, kerjasama itu turut menyokong aspirasi Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi mempercepat penggunaan tenaga bersih dan memperkukuh infrastruktur.
"Sarawak pula dilihat terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab tenaga boleh diperbaharui (RE) dan industri mampan serantau menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030)," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Datuk Davis Chong Chun Shiong berkata, Malaysia ketika ini amat memerlukan pelaburan jangka panjang dalam daya tahan grid, dan sistem penyimpanan tenaga.
Negara ini juga tambahnya, amat mengharapkan pelbagai infrastruktur sokongan bagi memenuhi aspirasi RE menjelang 2050, manakala Sabah dan Sarawak kini menjadi koridor pertumbuhan penting.
Antaranya jelas beliau, bagi usaha pembangunan infrastruktur RE, disokong lokasi yang strategik, pertumbuhan industri dan peningkatan permintaan tenaga bersih di kedua-dua negeri berkenaan.
“Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen Solarvest untuk memperkukuh impak serantau dan mengembangkan rantaian nilai tenaga bersih bersama HKB,” katanya dalam kenyataan. - DagangNews.com






