Solat Duduk Ketika Berjemaah? Imam Jelaskan Kedudukan Kerusi Dalam Saf [Video]

8 Sep 2025 • 2:27 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Solat lima waktu setiap hari merupakan ibadah wajib yang perlu dilakukan oleh setiap umat Islam khususnya bagi yang sudah akil baligh.

Dalam melakukan solat terdapat rukun yang perlu dilaksanakan agar sembahyang yang didirikan sah.

Namun terdapat beberapa keadaan di mana ia membataskan seseorang itu untuk melakukan solat seperti biasa sebagai contoh sakit, warga emas yang tidak larat berdiri lama dan sebagainya.

Oleh itu terdapat beberapa kemudahan yang boleh dilakukan dalam mendirikan solat bagi individu seperti ini iaitu solat secara duduk atau baring mengikut kemampuan seseorang.

Imam jelaskan bagaimana kedudukan kerusi dalam saf ketika solat berjemaah

Baru-baru ini, geng Masjid Kg Nakhoda di Batu Caves, Selangor turut tidak ketinggalan untuk menjelaskan tentang kedudukan kerusi di dalam saf sewaktu solat berjemaah.

Menerusi video sketsa yang dikongsikan di TikTok, awalnya kelihatan beberapa individu sedang mendirikan solat berjemaah. Jelas kelihatan salah seorang daripada jemaah yang berada di bahagian tengah itu solat menggunakan kerusi.

Bilal yang baru datang kemudiannya menyedari kewujudan kerusi yang berada di tengah-tengah saf itu. Pada hematnya akan mengganggu jemaah di bahagian belakang untuk sujud.

“Macam mana ada kerusi dekat sini ni, mengganggu je orang nak sujud,” katanya sambil mengalihkan kerusi itu ke tempat lain.

Sewaktu ingin sujud, kelihatan jemaah warga emas itu terjatuh kerana kerusi yang diletakkan tiada dan ia menyebabkan dia kemudian terbaring di atas sejadah.

Soal jemaah adakah solat duduk atas kerusi ketika rukuk atau sujud sahaja atau dari awal solat

Sebaik selesai menunaikan solat jemaah itu, kelihatan Imam masjid memeriksa keadaan individu itu sama ada dia dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Dalam masa sama, Imam itu turut bertanya adakah jemaah itu menggunakan kerusi untuk rukuk dan sujud sahaja atau sememangnya menggunakannya daripada awal solat.

Individu itu lalu memaklumkan dia hanya menggunakan kerusi tersebut untuk rukuk dan sujud.

“Oh yeke, kalau hanya ketika rukuk dan sujud sahaja baru nak solat di atas kerusi maka kedudukan kerusi haji tu dah betul.

“Maknanya kaki depan kerusi hendaklah berada di garisan saf namun seeloknya kalau nak solat macam tu, kerusi tu mestilah diletakkan di hujung saf ataupun boleh juga letak di bahagian tiang di belakang saf. Supaya tidak mengganggu jemaah di belakang.

“Manakala kalau seseorang itu memang dari awal hingga akhir solat itu duduk atas kerusi, maka kedudukan kerusi yang betul ialah kaki belakang kerusi berada di garisan saf. Itulah cara yang betul,” jelas Imam berkenaan.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut jelaskan berkaitan kedudukan kerusi dalam saf

Perkara sama turut dijelaskan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mengenai kedudukan kaki kerusi dalam saf untuk mereka yang solat atas kerusi.

Menurut Dr Zulkifli dalam satu portal rasminya terdapat beberapa keadaan yang membolehkan seseorang solat secara duduk seperti:

  • Tidak mampu untuk berdiri
  • Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri
  • Seseorang yang berada di atas kapal, sampan atau perahu yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut
  • Seseorang yang berasa pening kepala
  • Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.

Ujarnya ada beberapa dhawabit dan juga cadangan untuk individu yang terpaksa melaksanakan solat secara duduk seperti:

  • Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
  • Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
  • Kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah lain.
  • Beliau juga cadangkan sekiranya mereka yang solat atas kerusi ini ramai, maka pihak masjid atau surau menyediakan ruang khas bagi mereka yang menunaikan solat secara duduk seperti meletakkan kerusi yang panjang untuk mereka sebagaimana yang dilakukan oleh negara Arab dan seumpamanya.

Source: