Solat sah, tidak batal jika masjid tersasar arah kiblat – Mufti

25 Sep 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Solat sah, tidak batal jika masjid tersasar arah kiblat – Mufti

GEORGE TOWN – Solat yang dilakukan jemaah sebelum pembetulan arah kiblat di sesebuah masjid tidak perlu diulang atau diqadakan sekiranya arah terdahulu ditentukan berdasarkan kaedah ijtihad yang munasabah dan diiktiraf.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, keadaan arah kiblat yang perlu diperbetulkan bukan perkara luar biasa, khususnya membabitkan masjid lama yang dibina berdasarkan kaedah penentuan arah kiblat pada zaman terdahulu.

“Banyak masjid yang berlaku (situasi seperti ini), terutama masjid-masjid yang lama seperti Masjid Kapitan Keling, Masjid Pokok Tampang, Masjid Bakau Tua dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam isu berkenaan terdapat kaedah fiqh yang menyatakan bahawa ijtihad baharu tidak membatalkan ijtihad terdahulu.

Katanya, sekiranya arah kiblat sesebuah masjid sebelum ini ditentukan melalui kaedah yang dianggap sah dan munasabah berdasarkan ilmu falak, kompas, kedudukan matahari atau kaedah lain yang muktabar, penemuan baharu yang lebih tepat tidak bermakna solat terdahulu menjadi tidak sah.

“Solat-solat terdahulu tidak sewajarnya dihukum batal semata-mata kerana muncul pengukuran atau ijtihad baharu yang lebih tepat.

“Para jemaah telah menunaikan solat berdasarkan arah kiblat yang diyakini dan diterima pada ketika itu. Kaedah itu memberikan asas yang kuat bahawa ijtihad kemudian tidak membatalkan kesan hukum ijtihad terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bermakna jemaah tidak perlu mengqadakan solat yang telah dilakukan bertahun-tahun lalu hanya kerana arah kiblat kemudiannya didapati mempunyai sedikit penyimpangan.

Bagaimanapun, katanya, apabila pihak berautoriti telah membuat semakan dan menetapkan arah kiblat baharu yang lebih tepat, jemaah perlu mengikut arah tersebut bagi solat seterusnya.

“Yang dahulu tidak dibatalkan, tetapi yang akan datang hendaklah mengikut penentuan yang telah diperbetulkan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai Masjid Jamek Sungai Rambai, Bukit Mertajam yang memaklumkan arah kiblat sedia ada didapati tersasar hasil semakan dan pengesahan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Berdasarkan hantaran tersebut, garisan saf baharu telah disediakan dan jemaah diminta mengikut garisan berkenaan ketika menunaikan solat.

Pihak masjid turut memaklumkan solat yang telah dilakukan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diulang.

Dalam pada itu, pihak masjid turut mengumpul infak bagi menggantikan karpet baharu yang bersesuaian dengan susunan saf selepas pembetulan arah kiblat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Solat sah, tidak batal jika masjid tersasar arah kiblat – Mufti appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved