'Nak kena qada ke semua?' – Janna Nick tersalah waktu solat tiga hari di luar negara, ini penjelasan pakar

3 Sep 2026 • 9:30 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Nak kena qada ke semua?' – Janna Nick tersalah waktu solat tiga hari di luar negara, ini penjelasan pakar

MELANCONG ke luar negara bukan sekadar soal mencari tempat menarik, mencuba makanan tempatan atau mengabadikan momen untuk kenangan.

Bagi umat Islam, perubahan lokasi juga bermakna perlu lebih peka terhadap perkara asas seperti arah kiblat dan waktu solat.

Perkara itu turut menjadi perhatian pelakon dan penyanyi, Janna Nick apabila menyedari dirinya tersilap mengikuti waktu solat ketika berada di luar negara.

Lebih membuatkan Janna berasa serba salah, kesilapan berkenaan bukan berlaku sekali, sebaliknya selama tiga hari berturut-turut.

Menerusi perkongsian di Threads, isteri kepada Dini Schatzmann itu mengakui kesilapan berlaku selepas dia terlupa menukar lokasi dalam aplikasi Muslim Pro yang digunakannya sebagai rujukan waktu solat.

“Titik terendah bila kau solat tiga hari berturut-turut di negara yang kau travel, ikut waktu yang salah sebab lupa tukar lokasi di aplikasi Muslim Pro. Ingatkan auto tukar lokasi sendiri.

“Nak kena qada ke semua?," soal Janna lagi.

Image from: 'Nak kena qada ke semua?' – Janna Nick tersalah waktu solat tiga hari di luar negara, ini penjelasan pakar

Persoalan tersebut kemudian mengundang pelbagai respons daripada warganet yang menyarankan Janna menggantikan semula solat sekiranya masih berasa was-was mengenai waktu yang telah ditunaikan.

Tidak kurang juga yang mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu bergantung kepada tetapan automatik aplikasi ketika berada di negara berbeza.

Namun, persoalan mengenai kesahihan solat itu sebenarnya tidak semudah melihat sama ada waktu yang diikuti adalah waktu Malaysia atau waktu negara berkenaan.

Tersalah waktu, bagaimana pula hukumnya?

Perkara itu turut mendapat perhatian Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang tampil memberikan penjelasan menerusi Facebook.

Menurut beliau, hukum solat yang dilakukan pada waktu yang tersalah bergantung kepada kedudukan waktu solat sebenar di negara yang sedang didiami.

Image from: 'Nak kena qada ke semua?' – Janna Nick tersalah waktu solat tiga hari di luar negara, ini penjelasan pakar

Sebagai contoh, jika seseorang berada di Korea tetapi mengerjakan solat berdasarkan waktu Malaysia, terdapat beberapa keadaan yang perlu dilihat.

Jika solat tersebut sebenarnya dilakukan selepas masuk waktu solat di negara berkenaan, maka solat itu sah.

Bagaimanapun, jika solat dilakukan sebelum masuk waktunya, solat fardu berkenaan tidak sah dan perlu diqadakan. Dalam keadaan tersilap seperti itu, seseorang tidak berdosa.

Begitu juga sekiranya solat dilakukan selepas waktu sebenar telah tamat kerana tersalah membuat kiraan. Solat tersebut perlu diqadakan, namun kesilapan yang berlaku tanpa sengaja tidak menyebabkan seseorang berdosa.

Penjelasan itu turut disandarkan kepada hadis Nabi SAW mengenai orang yang terlupa atau tertidur sehingga terlepas solat, iaitu hendaklah menunaikannya apabila menyedarinya.

Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا

“Sesiapa yang terlupa suatu solat atau tertidur daripadanya, maka kaffarahnya ialah dia menunaikannya apabila dia mengingatinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim.)

Jika kesalahan berlaku selama tiga hari sebagaimana yang dinyatakan, maka seseorang itu perlu semak semua waktu solat yang telah dilaksanakan sama ada waktu telah masuk, belum masuk atau telah habis waktu. Ini kerana setiap keadaan ada hukumnya seperti yang dinyatakan di atas.

Justeru, bagi kesilapan yang berlaku selama beberapa hari seperti dialami Janna, setiap waktu solat yang telah dilaksanakan perlu disemak satu persatu.

Ini kerana statusnya bergantung kepada sama ada solat berkenaan sebenarnya dilakukan selepas masuk waktu, sebelum masuk waktu atau selepas waktu tersebut berakhir.

Perkongsian Janna secara tidak langsung membuka ruang untuk orang ramai lebih cakna terhadap satu perkara yang kadangkala mudah terlepas pandang ketika melancong.

Bukan sekadar menukar destinasi pada aplikasi, tetapi memastikan waktu solat yang dipaparkan benar-benar mengikut lokasi semasa.

Maklumlah, ketika berada di negara orang, beza beberapa jam pun boleh mengubah waktu ibadah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved