Solidariti yang berakhir jadi platform politik

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Semua pihak perlu kekalkan fokus dan jangan sekali-kali biarkan ia tersasar daripada tujuan asal.

FENOMENA solidariti untuk menuntut keadilan terhadap kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, kini menjadi suara bersama rakyat Malaysia apabila himpunan aman yang bermula di Sabah merebak ke seluruh negara, malah tersebar ke seantero dunia.

Dari Kota Kinabalu, himpunan solidariti buat Zara Qairina turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi lain di Sabah termasuk di Lahad Datu dan Tawau pada 8 Ogos lepas.

Laungan JusticeForZara kemudian turut bergema hingga ke beberapa daerah di Semenanjung, termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh, Kota Bharu dan Sungai Petani.

Sebagai contoh, ribuan peserta hadir pada himpunan solidariti yang berlangsung aman di Ipoh, Perak, sekali gus merupakan bukti bahawa suara rakyat boleh digerakkan secara tertib apabila tujuan perjuangan difahami bersama.

Himpunan solidariti terbabit turut menjadi refleksi naluri keibuan dan kebapaan yang tidak mahu melihat anak-anak lain menjadi mangsa kepada jenayah sama.

Kota Bharu juga tidak ketinggalan apabila laungan JusticeForFaris, Zara bagi menyatakan solidariti menuntut pembelaan atas kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman dan Zara Qairina di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Gabungan dua nama mangsa itu memperlihatkan bahawa solidariti rakyat bukan hanya tertumpu pada satu kes, tetapi menuntut keadilan dan memastikan siasatan dijalankan secara telus oleh pihak berkuasa.

Fenomena ini tidak terhenti di satu lokasi sahaja, malah Jam Besar Sungai Petani, Kedah dan Beaufort, Sabah turut menjadi saksi apabila orang ramai berkumpul sambil melaungkan JusticeForZara.

Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat menunjukkan kesedaran rakyat terhadap isu terbabit semakin memuncak, terutama bagi menuntut keadilan untuk mangsa.

Seorang peserta perhimpunan yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu memberitahu, naluri keibuan mendorongnya hadir dalam majlis itu.

Bagaimanapun, dalam gelombang solidariti yang semakin meluas, wajar diingatkan supaya peserta dan penganjur tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, kaum dan institusi raja.

Pada Jumaat, polis sudah memberi peringatan bahawa siasatan akan dibuka sekiranya ada ucapan yang menyentuh isu 3R ketika berlangsungnya himpunan JusticeForZara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pasukan perakam ditempatkan sepanjang perhimpunan itu bagi tujuan pemantauan.

Beliau memaklumkan, kertas siasatan akan dibuka sekiranya terdapat ucapan yang dikenal pasti melanggar undang-undang atau menyentuh sensitiviti.

Bagi penulis, peringatan itu bukan bertujuan menghalang solidariti, sebaliknya untuk memastikan himpunan berlangsung tertib dan tidak menimbulkan ketegangan yang boleh mencetuskan perpecahan.

Apatah lagi, tindakan menyentuh isu 3R dikhuatiri boleh menjejaskan tujuan asal himpunan selain mengundang implikasi undang-undang, sedangkan fokus perjuangan itu hanyalah satu iaitu menuntut keadilan buat mangsa.

Selain itu, semua pihak juga perlu berwaspada agar himpunan aman menuntut keadilan untuk gadis asal Sipitang, Sabah itu tidak bertukar menjadi platform politik.

Solidariti rakyat akan hilang nilai murninya jika ia diselewengkan untuk kepentingan mana-mana pihak, malah peserta diingatkan supaya menjaga tutur kata, mengawal emosi dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi.

Kehadiran ratusan hingga ribuan peserta di pelbagai lokasi perlu dijadikan bukti bahawa rakyat Malaysia matang dalam menyatakan suara mereka.

Solidariti itu seharusnya kekal dalam kerangka aman dengan mesej jelas sebagai tanda sokongan serta solidariti terhadap Zara Qairina tanpa dicemari elemen lain.

Dalam menzahirkan solidariti, semua pihak perlu kekalkan fokus dan jangan sekali-kali biarkan ia tersasar daripada tujuan asal.

*Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian

Lagi artikel berkaitan: