Somkiat Chantra Terlepas GP Austria & Hungary Akibat Kecederaan Lutut

13 Aug 2025 • 9:28 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pelumba IDEMITSU Honda LCR, Somkiat Chantra, disahkan akan terlepas aksi Grand Prix Austria dan Grand Prix Hungary selepas mengalami kecederaan ligamen di lutut kanan ketika menjalani latihan selepas perlumbaan GP Belanda baru-baru ini.

Chantra telah menjalani pembedahan dan berusaha keras dalam proses pemulihan dengan sasaran untuk kembali berlumba hujung minggu ini di Litar Red Bull Ring. Namun, pada Rabu pagi, Pengarah Perubatan MotoGP, Ángel Charte, bersama pakar lutut di Hospital Universiti Dexeus, Barcelona, melakukan penilaian perubatan dan mendapati pelumba Thailand itu masih belum bersedia untuk kembali beraksi.

Dengan beberapa pelumba ujian Honda serta calon pengganti lain turut menjalani pemulihan masing-masing, pasukan IDEMITSU Honda LCR memaklumkan mereka tidak dapat mencari pengganti sesuai untuk perlumbaan di Austria.

Namun, menjelang pusingan di Balaton Park, Hungary, minggu hadapan, pasukan mengesahkan pelumba ujian HRC, Aleix Espargaro, akan menggantikan Chantra. Pelumba bernombor #35 itu dijangka kembali ke litar pada GP Barcelona.

Pihak pasukan dan peminat turut mengucapkan selamat sembuh kepada Somkiat Chantra dan berharap beliau dapat kembali lebih kuat di perlumbaan akan datang.