Hari ini, pelbagai laporan telah mengatakan bahawa pengkalan data Sony baru sahaja telah digodam.
Cyber Security Connect telah melaporkan bahawa kumpulan penggodam Ransomed.vc telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah menggodam pangkalan data Sony dan telah memperlihatkan beberapa tangkapan layar yang menunjukkan laman log masuk dalaman syarikat tersebut, fail pembentangan PowerPoint, dan senarai dokumen yang memperlihatkan 6000 fail yang kini dimiliki oleh kumpulan tersebut.
Apa yang menarik mengenai serangan ini ialah ia tidak disahkan bahawa kumpulan ini menggunakan perisian tebusan untuk mencuri data tersebut. Akan tetapi mereka mengatakan secara terus bahawa mereka akan menjual data yang dirompak, kerana keengganan Sony untuk membayar kumpulan tersebut untuk data yang dicuri.
Walaupun begitu, tarikh 28 September 2024 telah ditetapkan untuk Sony membayar untuk mendapatkan kembali data dimana jika tiada wang diterima pada ataupun selepas tarikh tersebut, mereka dijangka akan menjual ataupun melepaskan data tersebut kepada umum.
Satu lagi perkara yang menarik mengenai ugutan kumpulan ini ialah mereka menggunakan undang-undang GDPR untuk menakutkan syarikat-syarikat ini untuk membayar wang tebusan data. Secara teknikalnya, ia adalah lebih murah untuk membayar kumpulan-kumpulan ini daripada membayar saman kepada Kesatuan Eropah kerana kehilangan data kepada kumpulan penggodam sebelum ia menjadi umum.
Setakat ini, Sony masih belum memberi sebarang kenyataan mengenai serangan godaman tersebut.
- Sumber
- CyberSecurityConnect


