Sony kini memperkenalkan LYTIA 610 iaitu sensor kamera telefon pintar baharu berukuran 1/2 inci dengan resolusi 64MP. Sensor ini direka khusus untuk memberikan imej lebih tajam, autofokus lebih pantas serta menyokong rakaman video sehingga 4K pada 120fps.

Ia menggunakan reka bentuk unik dengan gabungan susunan piksel RB 2×2 On Chip Lens (OCL) yang merupakan pertama dalam industri. Dalam susunan ini, Sony menyusun lensa untuk piksel dengan cara berbeza. Piksel hijau diberikan lensa khas 1×1 kerana ia banyak mempengaruhi ketajaman imej untuk menjadikan hasil gambar lebih jelas. Sementara itu, piksel merah dan biru digabungkan di bawah lensa 2×2 untuk menyokong fungsi autofokus yang lebih tepat. Ini bermaksud Sony berjaya menggabungkan dua aspek penting dalam satu sensor iaitu ketajaman imej dan kelajuan autofokus. Inovasi ini menjadikan LYTIA 610 bukan sekadar sensor beresolusi tinggi tetapi lebih pintar dalam cara ia menguruskan piksel untuk menghasilkan rakaman yang konsisten.

Kualiti imej diyakini mampu memberikan lebih 20% kejelasan imej berbanding generasi terdahulu walaupun saiz piksel masih sama iaitu 0.7μm. Sistem bacaan data pula boleh mencapai dua kali ganda lebih pantas daripada generasi sebelumnya. Sensor ini turut menyokong rakaman 4K sehingga 120fps dan 4K HDR 60fps menjadikannya sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Kemampuan ini juga membantu mengurangkan perbezaan paparan antara kamera utama dan kamera tambahan dalam set kamera pelbagai lensa sekali gus menghasilkan pengalaman rakaman yang lebih konsisten. Pengeluaran besar-besaran dijadualkan bermula pada akhir Jun ini.


