
Dell baru sahaja memperkenalkan Pro 7 Webcam 4K dan Pro 5 Webcam 2K dengan ciri pintar berasaskan AI bagi meningkatkan pengalaman kerja hibrid. Kedua-dua kamera web ini menawarkan imej yang lebih jelas serta warna yang lebih semula jadi melalui pemprosesan masa nyata.

Dell Pro 7 Webcam 4K menyokong rakaman 4K UHD 60fps dengan sensor Sony STARVIS dan pemproses imej berasaskan AI. Mikrofon pintar menumpukan pada suara pengguna yang berada dalam fokus pandangan bagi memastikan audio jelas walaupun dalam suasana bising. Ia turut menyokong Windows Hello dengan pengesanan kehadiran untuk membolehkan log masuk automatik apabila pengguna hadir dan mengunci PC apabila meninggalkan tempat. Dari segi reka bentuk, kamera web ini menggunakan klip pelekap magnet boleh tanggal yang menyokong ketebalan monitor sehingga 4.6cm.

Dell Pro 5 Webcam 2K menyokong rakaman 2K dengan sensor Sony untuk memberikan kualiti imej yang jelas. Ia turut menyokong Windows Hello untuk log masuk pantas melalui pengecaman wajah. Selain itu, bagi pengguna di pejabat, kamera web ini dilengkapi sokongan logam keselamatan yang membolehkan ia dikunci pada meja bagi tujuan perlindungan. Ia juga menawarkan fungsi pendedahan automatik, imbangan putih automatik, pengesanan pintar dan pengesanan wajah. Dari segi reka bentuk, ia menggunakan klip pelekap standard dengan panjang kabel 4.92 kaki.

Bagi yang berminat, Dell Pro 7 Webcam 4K akan tersedia tidak lama lagi di Malaysia dengan harga RM 1,054 manakala Dell Pro 5 Webcam 2K sudah pun berada di pasaran pada harga RM 672.



