Sony WF-1000XM5 Kini Boleh Dibeli Di Malaysia Pada Harga RM1399

TechnologyDigital
15 Aug 2023 • 12:49 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Produk audio Sony jarang mengecewakan kami. Antara yang kami sukakan padanya adalah kualiti audio yang enak serta kemampuan pembatalan hingar yang memuaskan. Selepas lebih dua tahun WF-1000XM4 dilancarkan, bulan lepas WF-1000XM5 diperkenalkan kepada umum.

image is not available

Hari ini Sony WF-1000XM5 mula dijual secara rasmi di Malaysia dengan ia mempunyai rekaan lebih kecil berbanding WF-1000XM4 yang membuatkannya lebih selesa digunakan. Sony turut menjanjikan kualiti pembatalan hingar aktif (ANC) yang lebih baik. WF-1000XM5 turut hadir dengan sensor aliran tulang untuk membolehkan suara pemakai kedengaran lebih jelas ketika melakukan panggilan suara.

image is not available

Pemacu audio yang digunakan pula adalah Dynamic Driver X. Ia menyokong audio resolusi tinggi, DSEE, audio spatial serta codec SBC, AAC, LDAC dan LC3. Pada setiap fon telinga terdapat pad sesentuh untuk kawalan. Panggilan telefon pula boleh diangkat oleh pemakai dengan hanya menundukkan kepala sahaja. Untuk tambatan pantas kepada pengguna Android, anda boleh menggunakan Google Fast Pair. Seperti majoriti produk audio moden, WF-1000XM5 menyokong tambatan kepada dua peranti serentak.

image is not available

Untuk perlindungan piawaian IPX4 disertakan agar boleh digunakan ketika bersukan. Sony mendakwa ketahanan TWS baharu mereka ini boleh mencapai 8 jam dan 24 jam bersama pod pengecas. Pengecasan boleh dilakukan melalui USB-C atau secara nirwayar.

image is not available

Di Malaysia Sony WF-1000XM5 dijual pada harga RM1399 dan ditawarkan dengan pilihan warna hitam arau perak. Mereka yang berminat boleh membelinya bermula hari ini dengan penawaran pemegang pasport percuma diberikan dengan setiap pembelian serta berpeluang memenangi sebuah kamera Sony ZV-1F.