Amat jarang produk generasi baharu dijual pada harga lebih murah tetapi dengan ciri dan fungsi yang lebih mahal berbanding generasi lepas diberikan. Ini berlaku kepada TWS baharu Sony iaitu WF-C710N yang merupakan pengganti kepada WF-C700N yang sudah berusia dua tahun.

WF-C710N dijual di Malaysia pada harga RM499, iaitu RM50 lebih murah berbanding C700N dua tahun lepas. Sony mendakwa kini ciri pembatalan hingar aktif dan mod ambien atau mod tembus bunyi telah dinaiktaraf memanfaatkan sistem dwi-mikrofon terbina. Setiap ciri audio turut tidak menggunakan sebarang cip khas yang ada pada TWS seperti WF-1000XM5.

Sony turut menambah sensor ambien untuk ciri auto jeda media ketika fon telinga dikeluarkan dari telinga. Setiap fon telinga turut kini menggunakan pad sesentuh berbanding butang fizikal, perlindungan kini adalah IPX4, dan sokongan tambatan multi-peranti masih dikekalkan. WF-C710N turut mempunyai bateri lebih baik iaitu sehingga 8.5 jam dengan ANC, 30 jam bersama pod pengecas 40 jam tanpa ANC dan jika bateri habis hanya cas 5 minit untuk penggunaan 1 jam.

Sony Malaysia menyenaraikan empat pilihan warna iaitu Pink, Glass Blue, White dan Black. Kesemua harga dijual pada harga RM499 tetapi masih tiada tarikh jualan.



