Sony WH-1000XM4C dilancarkan sebagai fon kepala premium paling mampu milik Sony pada harga RM1099. Tetapi jika anda masih merasakan harga yang ditawarkan masih terlalu “atas”, Sony WH-CH730N dan WH-CH530 turut dilancarkan di Malaysia pada harga yang lebih rahmah.

Sony WH-CH730N ialah model yang lebih premium berbanding WH-CH530. Ia hadir dengan pemandu audio dinamik 30mm dengan cawan telinga tertutup. Sistem pembantalan hingar NC disertakan bersama dengan mod tembus serta EQ 10 tetapan yang boleh diubah oleh pemilik. Span kepala dan telinga menjadikan ia selesa dipakai dengan ia seberat 207 gram.

Mod audio DSEE turut disertakan tetapi sokongan codec hanyalah SBC, AAC dan LC3 tanpa LDAC. Bateri yang disertakan memberikan penggunaan sehingga 50 jam dengan NC dan 75 jam tanpa NC. Sambungan dilakukan menerusi Bluetooth 6.0 atau kabel audio 3.5mm. Fon kepala boleh dilipat untuk disimpan.

Sony WH-CH530 pula ialah fon kepala ringan mampu milik dengan pemandu audio 30mm dengan cawan telinga tertutup. Tiada sistem pembatalan hingar tetapi terdapat sokongan DSEE, EQ 10 tetapan dan codec SBC, AAC dan LC3. Span kepala dan telinga menjadikan ia selesa dipakai dengan ia seberat 150 gram.

Bateri yang disertakan memberikan penggunaan sehingga 55 jam. Sambungan dilakukan menerusi Bluetooth 6.0 sahaja dan fon kepala tidak boleh dilipat.
Di Malaysia pratempahan untuk kedua-dua fon kepala telah dibuka dengan Sony WH-CH730N pada harga RM599 dalam warna Pink, Blue, Beige, Black, dan White. Sementara itu Sony WH-CH530 pula pada harga RM 229 dalam warna Pink, Coral, Mint, Cobalt, Black, dan White.






