SOP keselamatan di sekolah perlu dikaji – NGO pendidikan

LocalFamily & Parenting
5 Oct 2026 • 11:56 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SOP keselamatan di sekolah perlu dikaji – NGO pendidikan

BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mengambil pendirian lebih tegas bagi menangani isu keselamatan dan perlindungan murid dan pelajar di kawasan sekolah susulan insiden kematian seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, di sini kelmarin.

Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me’didik), Mohd. Ridhwan Othman berkata, kejadian melibatkan Allahyarham Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal itu perlu menjadi peringatan serius kepada komuniti pendidikan di negara ini.

“Kami percaya sudah tiba masa prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di sekolah seluruh negara dikaji semula secara komprehensif, bukan sebagai langkah selepas sesuatu insiden berlaku tetapi sebagai pencegahan agar kejadian sama tidak berulang.

“Sehubungan itu, KPM perlu tegas dalam menangani isu keselamatan di sekolah dengan mengambil langkah proaktif untuk keselamatan semua pihak di sekolah, khususnya murid dan pelajar,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini.

Tambah Mohd. Ridhwan, pihak berkuasa turut digesa melakukan audit keselamatan di kawasan-kawasan kurang pengawasan dalam premis sekolah seperti dewan, bilik stor, tangga, tandas dan kawasan yang terpencil.

“Pentadbiran sekolah juga perlu menambah baik aspek pemantauan dan pergerakan murid dan pelajar sepanjang mereka berada di dalam kawasan sekolah, sama ada ketika waktu persekolahan atau aktiviti selepas waktu sekolah.

“Pada masa sama, mekanisme aduan dan pelaporan murid juga perlu ditambah baik terutamanya melibatkan kes buli, keganasan, ancaman keselamatan atau sebarang insiden yang mencurigakan,” katanya.

Mohd. Ridhwan turut memberitahu pihaknya maklum kebimbangan masyarakat khususnya golongan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka semasa berada di sekolah.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak belajar, berkawan, membesar dan membina masa depan mereka. Ibu bapa tidak seharusnya menghantar anak ke sekolah dan tertanya-tanya sama ada keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Malam kelmarin, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemukan maut di dewan sebuah sekolah di Yong Peng, di sini dipercayai dibunuh.

Sementara itu semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad pula memberitahu pihaknya telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 16 tahun selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta tubuh badannya.-UTUSAN

The post SOP keselamatan di sekolah perlu dikaji – NGO pendidikan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved