210 jaket keselamatan bantu tingkat keselamatan murid SK Gantisan

LocalEnvironment
5 Oct 2026 • 7:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 210 jaket keselamatan bantu tingkat keselamatan murid SK Gantisan

PETALING JAYA: Keselamatan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gantisan, Sabah yang menggunakan bot untuk ke sekolah setiap hari mendapat perhatian syarikat korporat menerusi penyediaan jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak.

Murid dari Kampung Numbak dan Kampung Kebagu di Kota Kinabalu itu sebelum ini menggunakan jaket keselamatan bersaiz dewasa ketika menaiki bot ke sekolah, yang kurang sesuai dengan saiz tubuh mereka.

Bagi meningkatkan keselamatan perjalanan tersebut, sebanyak 210 jaket keselamatan bersaiz kanak-kanak disediakan hasil kerjasama DP World, Suria Group dan Sabah Ports Sdn. Bhd. (SPSB).

Sebanyak 11 jaket diserahkan kepada murid dalam satu majlis di Wisma Sabah Ports pada 1 Oktober lalu, manakala baki 199 jaket akan dihantar terus kepada SK Gantisan.

Naib Presiden Eksekutif, Sumber Manusia, Asia Pasifik DP World, Gaylynne Neill berkata, setiap kanak-kanak berhak melakukan perjalanan ke sekolah dengan selamat tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka.

“Bagi pelajar dalam komuniti pesisir Sabah, perjalanan ke sekolah bermula di atas air dan sesuatu yang asas seperti jaket keselamatan yang dipakai dengan betul boleh membawa perubahan yang bermakna,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, inisiatif itu selari dengan komitmen DP World untuk menyokong pendidikan serta kesejahteraan komuniti di kawasan operasinya.

Katanya, selain penyediaan jaket keselamatan, DP World turut bekerjasama dengan SK Gantisan dalam aktiviti pendidikan berkaitan biodiversiti marin dan pemuliharaan alam sekitar.

Aktiviti berkenaan merangkumi topik seperti terumbu karang, hutan bakau dan pemuliharaan penyu serta orang utan.

Pendidikan merupakan antara bidang tumpuan utama DP World menerusi strategi kemampanan Our World, Our Future, yang menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 1.5 juta pelajar menjelang 2030, katanya. – UTUSAN

The post 210 jaket keselamatan bantu tingkat keselamatan murid SK Gantisan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved