
MELAKA – Taktik sebuah restoran makanan Arab di Bukit Baru di sini menyembunyikan 230 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi di bawah timbunan sampah kering terbongkar dalam serbuan oleh penguat kuasa, hari ini.
Kesemua bekalan berkenaan ditemui disimpan di tingkat tiga premis itu oleh pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, serbuan tersebut merupakan hasil risikan selama tiga minggu, selain aduan daripada orang ramai.
“Hasil soal siasat awal, pengurus premis yang berasal dari Yemen mendakwa bekalan terbabit telah diuruskan oleh pengusaha cawangan itu di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun semakan lanjut kita percaya pesanan telah dibuat oleh mereka sendiri bagi menjimatkan kos operasi,”katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan di lokasi turut mendapati bekalan tersebut bukan sahaja diletakkan dalam persekitaran yang kotor, malah ruang tersebut turut dijadikan asrama untuk empat pekerja warga asing restoran terbabit.
Mengulas lanjut beliau berkata, semakan maklumat di kotak pembungkusan mendapati bekalan telah diperoleh daripada pengeluar di Selangor.
“Pesanan itu telah dihantar menggunakan kurier bagi mengelak ia dikesan oleh pihak berkuasa.
“Kesemua minyak peket yang dianggarkan bernilai RM575 disita dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan,” ujarnya.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala syarikat pula denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama.- KOSMO! ONLINE
The post Sorok 230kg minyak peket dalam timbunan sampah kering appeared first on Kosmo Online.





