amree02/10/2026 - 17:51 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt — Techna-X Berhad melepaskan perniagaan makanan dan minuman (F&B) di China yang mengalami kerugian dan dibebani hutang menerusi penjualan 45% kepentingannya dalam Chaswood Restaurant Management (Beijing) Co Ltd dengan harga RM7 juta.
Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perjanjian jual beli (SPA) bagi pelupusan kepentingan berkenaan dimeterai dengan ZhengHe International Trade Import & Export (Shenzhen) Co. Ltd pada 30 September 2026.
Menurutnya, langkah itu membolehkan kumpulan menyusun semula operasi perniagaan dan menumpukan sumber kepada perniagaan serta usaha niaga yang berdaya maju dan berpotensi menyumbang secara positif kepada keuntungan serta pertumbuhan jangka panjang.
"Daripada hasil itu, sebanyak RM5 juta akan digunakan bagi keperluan operasi dan penambahbaikan perniagaan dalam tempoh 24 bulan, manakala RM1 juta diperuntukkan untuk penyelesaian pemiutang perdagangan dan lain-lain," jelas Techna-X.
Baki RM800,000 pula akan digunakan kumpulan tersebut bagi perbelanjaan operasi dan pentadbiran am, manakala RM200,000 diperuntukkan untuk kos berkaitan cadangan pelupusan tersebut.
Ia menjangkakan pelupusan itu menghasilkan keuntungan bersih sekitar RM6.31 juta, dengan keuntungan berkenaan mengambil kira nilai bersih liabiliti yang dilupuskan serta kos transaksi.

Berdasarkan kedudukan kewangan Techna-X setakat 31 Disember 2025, pelupusan itu secara pro forma dijangka meningkatkan aset bersih kepada RM38.26 juta daripada RM32.15 juta selepas diambil kira peristiwa susulan, manakala aset bersih sesaham naik kepada 13 sen berbanding 11 sen.
"Dari segi kerugian, pelupusan itu secara pro forma akan mengurangkan kerugian kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 kepada RM22.95 juta daripada RM29.26 juta selepas mengambil kira keuntungan pelupusan RM6.31 juta," jelasnya.
Chaswood katanya, diperbadankan di China dan menjalankan aktiviti berkaitan operasi restoran, jualan makanan serta minuman berbungkus, barangan kegunaan harian dan kraftangan, selain menyediakan khidmat perundingan pengurusan restoran.
Pada asalnya, Techna-X melabur RM1 juta dalam Chaswood pada 23 Disember 2020. Harga pelupusan RM7 juta bagi kepentingan 45% itu dipersetujui bersama, dengan mengambil kira faktor penilaian serta rancangan pemulihan operasi perniagaan F&B di China.
Cadangan pelupusan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham dan dijangka diselesaikan menjelang suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan syarat terdahulu serta pembayaran penuh harga pembelian. - DagangNews.com






