
PASIR PUTEH – Cubaan satu sindiket untuk menyembunyikan satu kontena berisi 50 kotak ayam sejuk beku seludup di kawasan projek pertanian terbiar gagal selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah stor di Kampung Cherang Ruku di sini semalam.
Serbuan sepasukan anggota PGA kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penjaga stor tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dijalankan, lelaki tersebut menyerahkan kunci stor yang berada di dalam simpanannya kepada anggota PGA untuk melakukan pemeriksaan.
Katanya, pemeriksaan di dalam kontena sejuk beku tersebut membawa kepada penemuan sebanyak 50 kotak ayam beku yang dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM6,000.
“Lelaki itu bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkenaan barangan tersebut.
“Siasatan mendapati, suspek mengaku ayam sejuk beku itu diseludup dari Thailand sebelum dihantar menggunakan beberapa buah kereta ke stor tersebut pada waktu malam berikutan permintaan yang tinggi daripada pelanggan di dalam dan luar Kelantan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua bekalan ayam sejuk beku itu akan dihantar ke kedai-kedai makan di sekitar Pasir Puteh dan dijual pada harga RM120 sekotak.
Katanya, suspek bersama barangan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE
The post Sorok satu kontena ayam sejuk beku di tapak projek pertanian terbiar appeared first on Kosmo Online.





