500 ‘rumah hantu’ Taman Yu Legenda

16 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 500 ‘rumah hantu’ Taman Yu Legenda

KUALA SELANGOR – Bangunan belum siap biasanya dilabel projek terbengkalai, namun bagi kira-kira 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Yu Legenda, Sungai Yu di sini terbiar tanpa penghuni meskipun telah siap sejak tiga tahun lalu.

Lebih membimbangkan, kediaman yang sepatutnya dihuni golongan B40 itu kini dikhuatiri mengalami kerosakan akibat terlalu lama dibiarkan kosong.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, keadaan itu amat dikesalkan kerana projek berkenaan sudah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan sedia untuk diduduki.

Menurutnya, PPR Taman Yu Legenda pada asalnya dirancang untuk ditawarkan kepada pemohon yang layak menerusi skim sewa untuk beli (Rent-to-Own) pada harga RM45,000.

“Sekarang tengoklah, ibarat terbengkalai walaupun rumah sudah siap. Tempoh jaminan pemaju sudah tamat. Pastinya banyak baik pulih perlu dilakukan termasuk pendawaian yang mungkin rosak dan bumbung yang bocor,” katanya ketika ditemui selepas meninjau projek berkenaan di sini hari ini.

Noh yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, projek itu diasaskannya ketika memegang jawatan berkenaan lebih 10 tahun lalu bagi membantu warga tempatan khususnya golongan B40 memiliki kediaman.

Katanya, kelewatan menyerahkan rumah tersebut kepada pemohon menyebabkan kediaman yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat kini terdedah kepada kerosakan sebelum sempat didiami.

“Lebih baik menteri sekarang, Nga Kor Ming meletakkan jawatan kerana hendak menguruskan rumah yang sudah siap dan sedia diduduki pun gagal. Sampai sekarang rumah terbengkalai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Yu, Rasidan Tumin melahirkan kebimbangan sekiranya dibiarkan terus kosong dikhuatiri disalah guna sebagai penempatan haram sekiranya terus dibiarkan tanpa penghuni.

“Penyerahan kepada pemohon perlu diselesaikan segera kerana kediaman tersebut sudah lengkap dan sepatutnya dihuni. Kita risau keadaan ini menimbulkan masalah kepada orang kampung,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 500 ‘rumah hantu’ Taman Yu Legenda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved